Tuesday, July 2, 2024
25.6 C
Brunei

    -

    Bakar rumah bapa, lelaki dipenjara 9 tahun, 6 sebatan

    Oleh Nour Maghfirah – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang membakar rumah bapanya telah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, kelmarin.

    Sukaimi bin Haji Supawi pada mulanya mengaku tidak bersalah atas kesalahan membakar.

    Kejadian bermula semasa musim COVID-19 pada 3 November 2021, defendan beberapa kali datang ke rumah iparnya di Kuala Belait dengan membuat kekacauan hingga laporan polis dibuat.

    Keesokan malamnya, pasukan polis Kuala Belait datang ke rumah bapa defendan di Kampung Pandan C, Kuala Belait untuk mencarinya berhubung laporan kekacauan tersebut.

    Sebelumnya, defendan tinggal bersama ibu bapanya di rumah berkenaan sejak kehilangan pekerjaan. Defendan sering meminta wang daripada ibu bapanya dan jika tidak diberikan, defendan akan mengamuk.

    Sikap defendan yang keterlaluan itu menyebabkan ibu bapanya berpindah keluar dari rumah mereka untuk bersembunyi daripada defendan. Sejak ibu bapanya berpindah, defendan cuba mencari mereka melalui adik-beradiknya sehingga menyebabkan defendan lebih marah. Semasa dalam pencarian ibu bapanya, defendan pergi ke rumah iparnya sehingga melakukan kekacauan.

    Gambar Freepik

    Kehadiran pihak polis di rumah ayahnya yang menyerunya untuk ke balai polis bagi siasatan lanjut telah menimbulkan kemarahan kepada defendan, hingga menyebabkan dia membakar rumah tersebut dan melarikan diri.

    Semasa perbicaraan, Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud memanggil seramai 12 saksi untuk membuktikan kes tersebut, termasuk bapa defendan, anggota polis di tempat kejadian dan penyiasat pakar pembakaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

    Pihak pendakwaan berhujah bahawa sekiranya defendan tidak membakar, dia tidak akan melarikan diri dari rumah tersebut dengan memecut keretanya. Jika dia tidak membakarnya pasti defendan akan kembali atau meminta bantuan dan cuba memadamkan kebakaran serta menghubungi anggota bomba untuk menyelamatkan rumah daripada terbakar.

    Setelah mendengar keterangan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, semasa penghakiman, Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar mendapati defendan bersalah melakukan khianat dengan api, berniat menyebabkan kerosakan atau mengetahui ia berkemungkinan menyebabkan kerosakan pada ruang tamu rumah itu pada 4 November 2021 kira-kira jam 8 malam.

    “Saya dapati keterangan defendan tidak rasional dan munasabah,” kata hakim.

    Dalam menjatuhkan hukuman terhadap defendan, mahkamah menekankan faktor-faktor yang memburukkan kes dan menyatakan pembakaran adalah kesalahan serius dan hukuman pencegahan harus mencerminkan kemungkaran yang dilakukan oleh defendan.

    Defendan juga tidak menunjukkan kekesalan semasa perbicaraan dan mujur tiada sesiapa yang cedera.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jangka hayat Australia menurun buat kali pertama

    CANBERRA, 2 JULAI - Jangka hayat Australia turun buat kali pertama dalam hampir 30 tahun semasa pandemik COVID-19, dedah satu laporan kerajaan. Institut Kesihatan dan...