Penyanyi Malaysia, Naqiu, 39, berpendapat individu yang bercita-cita menjadi penghibur perlu tampil unik dan memiliki ‘Faktor X’ untuk menambat hati peminat.
Naqiu melihat artis baharu sekarang rata-rata memiliki pakej sama dengan pendekatan atau strategi berulang.
“Kita masih kurang pelapis yang ada ‘Faktor X’. Saya lihat kebanyakannya hendak jadi seperti artis sedia ada.
“Jadi, saya cuba cari bakat unik dan tidak pernah ditemui lagi,” katanya ditemui pada majlis pelancaran The Ascott Star Rewards Festival 2025 di sebuah pusat beli-belah kelmarin.
Naqiu atau nama sebenar, Wan Naqiuddin Mohd Najib dilantik menjadi juri program pencarian bakat, The Ascott Star Rewards Festival 2025.

Naqiu yang juga vokalis kumpulan Boboy berkata, berdasarkan pengalaman menjadi juri, dia sering bertemu individu yang mempunyai bakat nyanyian sama.
“Kebanyakan daripada mereka hendak jadi Ella, Datuk Awie atau Azlan Typewriter. Saya tidak mahu dua atau tiga penyanyi dengan konsep sama,” katanya.
Selain itu, Naqiu menasihatkan bakat baharu yang menyertai pertandingan nyanyian agar membuang mentaliti membawa lagu nada tinggi sebagai bukti kemampuan diri.
“Kadang-kadang lagu yang rendah pun boleh jadi tarikan,” katanya.
Selain Naqiu, turut dipilih sebagai juri pertandingan karaoke The Ascott Star Rewards Festival 2025 adalah Ara Johari dan Khai Bahar. Pertandingan nyanyian itu sudah meraih lebih 250 peserta. – Agensi