Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bakat muda Myanmar pamer kemahiran robotik

    YANGON – Pelopor pembaharuan muda dari seluruh Myanmar berkumpul untuk mempamerkan kemahiran robotik mereka pada Pertandingan Robot Dunia pertama negara yang berlangsung di Teater Nasional di Yangon, baru-baru ini.

    Salah seorang peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut ialah Hazel Shin Hmuu Tin, 10, yang meluahkan kegembiraannya dengan berkata, “Saya suka robot. Saya berasa teruja menyertai pertandingan ini. Kami menggunakan M6 RCU. Ia kecil dan sangat pantas.”

    “Ini kali ketiga saya menyertai pertandingan robotik. Apabila saya dewasa, saya mahu menubuhkan syarikat perisian,” tambahnya.

    Bercakap mengenai masa depannya dalam bidang robotik, Hazel berkata, “Manusia menjadi tua, tetapi robot tidak. Oleh itu, orang boleh menggunakan robot.

    “Menulis program adalah cabaran bagi saya. Kami perlu bekerja sebagai satu pasukan,” tambah Hazel.

    Salah seorang pelajar yang ikut bertanding semasa Kejohanan Robotik di Teater Kebangsaan di Yangon, Myanmar. – Xinhua
    Antara pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut memulakan pertandingan di Teater Kebangsaan di Yangon, Myanmar. – Xinhua
    ATAS & BAWAH : Pelajar muda mempamerkan kemahiran robotik di Kejohanan Robotik Dunia Myanmar. – Xinhua
    Gambar Xinhua
    Antara aksi robot yang bertanding dalam kejohanan tersebut. – Xinhua

    Kaung Sint Thu, 10, pula berkongsi perasaan terujanya, “Saya sangat gembira dapat menyertai pertandingan ini bersama rakan-rakan saya. Saya menimba pengalaman untuk pertandingan masa depan.

    “Saya bertanding dalam pertandingan ini bersama rakan saya. Kami menggunakan M6 RCU. Pengalaman yang diperoleh dari pertandingan ini akan memberi manfaat untuk pertandingan antarabangsa akan datang,” jelasnya.

    “Ini kali kedua saya menyertai pertandingan robot. Kali pertama adalah di Thailand di mana saya dinobatkan sebagai juara,” katanya.

    Mengenai penggunaan robot dalam kehidupan harian, Kaung Sint Thu berkata, “Robot boleh membantu orang di tempat-tempat seperti hospital. Saya mahu mencipta sesuatu dengan pengekodan dan membina robot pada masa hadapan.”

    Sementara itu, Than Zin Theint, 11, berkata, “Saya bertanding di sini bersama abang saya. Saya sangat teruja menyertai pertandingan ini. Ini kali kedua saya menyertai pertandingan robot.

    “Robot sangat menarik. Mereka dikendalikan oleh pengaturcaraan. Saya bukan sahaja mendapat pengalaman tetapi juga berseronok di sini,” katanya.

    “Saya mahu mengendalikan restoran dengan robot apabila saya dewasa. Robot sangat berguna. Ia boleh memudahkan kerja untuk orang ramai,” katanya.

    Zwe Thiha Htun, 10, mengongsikan perasaannya dengan berkata, “Ini kali pertama saya menyertai pertandingan robot. Saya berasa teruja namun gementar.

    “Robot boleh membantu kami menghantar surat, memasukkan barang ke dalam kotak dan membungkusnya,” katanya.

    “Apabila saya dewasa, saya mahu menjadi cef atau pentadbir IT. Dengan menyertai pertandingan ini, saya mendapat pengalaman. Jika ada pertandingan lain, saya akan terus mengekod dan menyertainya,” tambahnya.

    Seorang lagi pelajar, Min Thukha, 11, berkongsi aspirasinya, “Saya menyertai pertandingan ini kerana saya mahu menguji otak dan IQ saya. Ini kali pertama saya sertai pertandingan ini.

    “Dengan pengetahuan dan teknologi, kita boleh menjadikan dunia tempat yang lebih baik. Saya mahu menjadi guru Matematik pada masa hadapan,” katanya.

    Min Thukha berkata pertandingan itu akan memberikan inspirasi kepada orang lain untuk belajar robotik dan pengekodan.

    Nyi Nyi Zaw Htun, penganjur acara WRC, berkata lebih 200 orang pelajar daripada lebih 70 pasukan di Myanmar bertanding dalam pertandingan robotik yang diadakan di Teater Kebangsaan di Yangon.

    “Kami menganjurkan pertandingan ini mengikut peraturan yang ditetapkan oleh WRC. Pelajar akan mendapat manfaat daripada kerja berpasukan, pengetahuan kejuruteraan dan banyak lagi,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda