Monday, April 28, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bakat seni terpendam artis cilik

    TOKYO – Menggenggam berus cat dan krayon, artis yang dikenali sebagai Thumbelina memercik dan menconteng dengan riang, bintang berusia satu tahun semasa pameran Tokyo yang diteruskan melepasi waktu tidurnya.

    Lukisan abstrak oleh kanak-kanak itu dijual pada harga 33,000 yen (AS$230) pada pertunjukan sulungnya di galeri moden Decameron, terletak di atas bar di daerah pelacuran Kabukicho.

    Gaya Thumbelina yang ceria bersifat ‘kekanak-kanakan tetapi secara misteri amat mahir,’ pengarah galeri – ibunya – Dan Isomura memberitahu AFP.

    “Saya fikir, ‘wah, ini adalah karya seni yang amat cantik,” kata Isomura, menerangkan tanggapan pertamanya tentang ciptaan bentuk bebasnya.

    Contengan yang comot dan berwarna-warni menghiasi tikar tatami dan meja di rumah pinggir bandar kanak-kanak berusia 21 bulan itu, di mana ibunya dengan sabar membantu memulas untuk membuka tiub cat dan memicitnya ke atas kertas.

    Buku ditulis mengenai Thumbelina di meja makan semasa temu bual bersama ibu bapanya di Tokyo. – AFP
    Pelbagai bahan yang digunakan artis berusia 21 bulan di rumah keluarganya di Tokyo. – AFP
    Thumbelina melukis bersama ibunya. – AFP
    Artis Thumbelina menggunakan berus untuk melukis di rumah keluarganya. – AFP
    Pengarah galeri Dan Isomura bergambar dengan karya abstrak yang dipamerkan oleh Thumbelina. – AFP
    Gambar AFP

    “Saya dapat melihat elemen ini dalam pergerakan dan coraknya… dia tahu apa yang dilakukannya,” kata penghijrah berusia 20an yang berpindah dari Ukraine itu, meminta namanya tidak disiarkan atas sebab privasi.

    Sebagai rakan artis yang memberi tumpuan kepada kaligrafi Jepun, dia ‘iri hati’ dengan pameran solo pertama anak perempuannya, ujarnya dalam nada seloroh, walaupun sudah tentu, “Saya gembira, sebagai seorang ibu”.

    Pernah dia fikir anak perempuannya mungkin membantunya dengan kerja seni, tetapi kini ‘Saya pula menjadi pembantunya.’

    ‘SEPERTI CUPID’

    Selepas Rusia menyerang pada 2022, ibu Thumbelina meninggalkan wilayah Donbas di timur Ukraine – tanah airnya yang ‘sangat patologis, ganas’ dimusnahkan oleh peperangan.

    Dia mendapati dirinya berada di dalam pesawat ke Jepun, setelah merujuk laman web yang membantu rakyat Ukraine mencari perumahan di seluruh dunia.

    Peluang duduk di sebelah artis kontemporari Isomura, yang hanya menaiki pesawat disebabkan dua penerbangan tertunda, telah mengubah hidupnya.

    Hairan apabila mendapat tahu mereka berdua adalah artis, pasangan itu terus berhubung, dan tidak lama selepas itu, melalui kenalan Isomura, dia bertemu dengan bakal suaminya.

    “Dan adalah malaikat kami, awda tahu, seperti Cupid,” katanya.

    Pasangan itu kemudiannya mempunyai anak perempuan Thumbelina – bukan nama sebenar – di mana lukisannya memberi inspirasi kepada Isomura yang berusia 32 tahun.

    Pada mulanya dia menganggap kanak-kanak itu ‘menconteng secara rambang, seperti sedang bermain dalam lumpur.’

    Namun apabila dia melihat Thumbelina amat khusyuk, ‘dia seolah-olah memberi isyarat setiap kali dia menganggap lukisannya sudah siap,’ mendorong ibunya untuk memberikan lembaran kertas baharu kepadanya.

    Memandangkan Thumbelina kadangkala meminta warna tertentu, mencipta bentuk daripada titisan cat dan memberikan sentuhan akhir secara sukarela mencadangkan semangat yang cekal untuk menghasilkan karya yang siap, katanya.

    “Ada yang mungkin mengatakan penglibatan ibunya bermakna hasil ciptaan tersebut bukan karya Thumbelina,” kata Isomura.

    Tetapi ‘bagi seorang anak damit, ibu adalah sebahagian daripada jiwa mereka.’

    MINDA KREATIF MUDA

    Dalam apa jua keadaan, artis dewasa tidak sepenuhnya bebas, menurut pendapat Isomura, kerana mereka jarang terlepas daripada cat yang dibeli di kedai atau kanvas konvensional.

    “Kami beroperasi di bawah ilusi ciptaan bersendirian, sedangkan sebenarnya kami sangat bergantung kepada sistem yang dibina oleh orang lain,” katanya.

    Pameran itu, yang pertama bagi Isomura sebagai pengarah Decameron, dibuka bulan lalu dan berlangsung sehingga pertengahan Mei.

    Tetapi pada masa ia berlangsung, Thumbelina mungkin sedang tidur nyenyak disebabkan waktunya yang lewat.

    Satu malam baru-baru ini di galeri, seorang pelawat yang mengagumi karya di pameran berkata lukisan itu mempunyai daya tarikan yang murni.

    “Kami secara naluri cuba melukis dengan mahir kerana kami telah terbiasa dengan lukisan kami dinilai oleh orang lain,” beritahu Yuri Kuroda, 45 tahun kepada AFP.

    “Tetapi rasanya dia tidak kisah langsung sama ada ia baik atau buruk… Ia adalah satu pemikiran yang tidak boleh kita kembalikan.”

    Jadi adakah dia akan membayar AS$230 untuk membawa pulang satu karya sedemikian?

    “Saya memang terpikat,” kata Kuroda sambil tergelak kecil. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda