BARCELONA, 1 MEI – Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi memuji pemain sayap remaja Barcelona, Lamine Yamal selepas keputusan seri 3-3 separuh akhir pertama Liga Juara-Juara yang mendebarkan awal pagi tadi.
Yamal, 17, menjaringkan gol solo yang hebat pada perlawanan ke-100nya di Barcelona ketika pasukan Catalan itu bangkit daripada ketinggalan dua gol dan menggerunkan pertahanan Inter sepanjang perlawanan.
“Yamal jelas merupakan bakat jenis yang dilahirkan setiap 50 tahun, ia tidak pernah saya lihat sebelum ini,” kata Inzaghi.
“Saya melihatnya malam ini buat kali pertama dan dia mencipta masalah untuk kami, kami tingkatkan kawalan terhadapnya dan kemudian kami kekurangan pemain di tempat lain di atas padang.
“(Persembahan kami) adalah membanggakan dan Yamal pula adalah satu fenomena yang lahir setiap 50 tahun.”
Inter terpaksa mendiamkan Yamal untuk beberapa ketika pada separuh masa kedua, yang dikatakan Inzaghi sebagai objektif selepas persembahannya pada separuh masa pertama.
“Kami mengubah strategi, kami perlu lebih mengawal Yamal, satu tindakan yang tidak mudah,” sambung jurulatih itu.
Inzaghi juga berkata dia ‘sedikit ragu’ setelah kapten pasukan, Lautaro Martinez yang dikeluarkan akibat cedera pada separuh masa akan bersedia untuk perlawanan kedua.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick turut memuji pemain sayap Yamal, yang sebelum ini menolak perbandingan dengan Lionel Messi pada malam sebelum perlawanan tersebut.
“Saya sangat gembira kerana bakat setiap 50 tahun ini bermain untuk Barca,” kata Flick, apabila kata-kata Inzaghi disampaikan kepadanya.
“Lamine pada separuh masa pertama sangat penting bagi kami, dia mencipta begitu banyak perkara positif dan mendapat gol pertama,” kata jurulatih dari Jerman tersebut.
“Dia istimewa, dia seorang yang genius.Awda melihat semua butiran dan sukar dipercayai bagaimana dia melakukannyai.” – AFP
