BARCELONA, 1 MEI – Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi memuji bakat luar biasa pemain sayap remaja Barcelona, Lamine Yamal, selepas aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara yang berakhir seri 3-3, di Camp Nou, kelmarin.
Yamal, 17, menjaringkan gol solo yang menakjubkan pada penampilan ke-100 bersama Barcelona, sekali gus mendorong kebangkitan skuad Catalan yang sebelum itu ketinggalan dua gol di belakang Inter.
“Yamal jelas merupakan bakat luar biasa yang hanya muncul setiap 50 tahun. Saya tidak pernah melihat aksi hebat seperti ini sebelum ini,” ujar Inzaghi dalam sidang media selepas perlawanan.
“Saya lihat dia buat kali pertama malam ini dan dia benar-benar menyusahkan kami. Kami cuba menggandakan kawalan ke atasnya, tapi ia menyebabkan kami kekurangan pemain di posisi lain.”
Inzaghi turut menyatakan kebanggaan atas prestasi pasukannya dan menyifatkan kehadiran Yamal sebagai ‘fenomena luar biasa’.
“Pada babak kedua, kami cuba menyesuaikan taktik untuk mengurangkan ancamannya – dan ia pun bukan tugas yang mudah,” katanya.
Inzaghi turut memaklumkan bahawa kapten pasukan, Lautaro Martinez, yang dikeluarkan akibat kecederaan pada separuh masa pertama, diragui dapat diturunkan dalam aksi timbal balik. – AFP
