Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bakayoko sah milik Chelsea

    LONDON, 16 Julai – Juara Liga Perdana, Chelsea melengkapkan perpindahan pemain tengah Perancis, Tiemoue Bakayoko (gambar) daripada Monaco, semalam.

    Pemain berusia 22 tahun itu menyertai gergasi Inggeris Chelsea dengan kontrak lima tahun membabitkan nilai perpindahan 39.7 juta pound (AS$51.98 juta) selepas membantu Monaco memenangi kejuaraan Ligue 1, musim lalu.

    “Saya gembira berada di sini dan menyertai pasukan hebat seperti Chelsea,” kata Bakayoko menerusi kenyataan di laman sesawang Chelsea.

    “Saya membesar dengan menonton pasukan ini. Mudah untuk menandatangani kontrak bersama Chelsea kerana ini kelab yang menjadi idaman saya sejak dari kecil.

    “Saya kini tidak sabar untuk beraksi dengan jurulatih yang hebat dan rakan sepasukannya yang menakjubkan.”

    Namun Chelsea belum dapat menurunkan pemain barunya itu di awal musim kerana Bakayoko dijangka tidak beraksi selama enam minggu selepas menjalani pembedahan pada lututnya di akhir musim lepas.

    Bakayoko menjadi antara pemain bintang di dalam skuad bimbingan Leonardo Jardim yang mencipta kejutan apabila mengetepikan Paris Saint-Germain meraih kejuaraan Ligue 1, selain mara ke separuh akhir saingan Liga Juara-Juara.

    “Tiemoue merupakan pemain hebat ketika Monaco muncul sebagai antara pasukan terbaik Eropah musim lepas dan kami gembira untuk mengalu-alukannya ke Chelsea,” kata pengarah teknikal kelab, Michael Emenalo.

    Ketibaannya juga akan memberi laluan kepada kemungkinan pemergian Nemanja Matic dari Stamford Bridge.

    Namun Chelsea agak keberatan untuk menjualnya kepada Manchester United, kerana hubungan kedua kelab pesaing itu agak dingin selepas isu United mendapatkan sasaran Chelsea, Romelu Lukaku. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda