JERTIH – Musim durian yang kini kembali lagi mencetuskan idea kreatif buat seorang peniaga bakso di Pasar Tani Kekal (PTK) Nyiur Tujuh di sini untuk menghasilkan menu kombinasi ‘bakso durian’.
Helmy Abdul Rashid, 48, atau lebih dikenali Abe Pok Mie berkata pada mulanya dia kurang yakin dengan idea menggabungkan makanan dari Indonesia itu bersama raja buah kerana bimbang tidak mendapat sambutan.
Namun dia memberanikan diri untuk memperkenalkan menu baharu itu pada program Showcase dan Klinik Usahawan yang dianjurkan kerajaan negeri di Jertih pada awal bulan ini.
“Sebelum ini saya ada terfikir untuk mencipta menu baharu tapi saya takut untuk mencuba kerana risau tidak mendapat sambutan daripada pelanggan. Lagipun bila difikirkan kembali macam pelik juga bakso dicampur dengan durian. Namun apabila saya cuba bawa menu ini ke program keusahawanan itu, ternyata ia mendapat sambutan dan ramai yang bertanya di mana mereka boleh dapatkan bakso durian ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerai baksonya di PTK Nyior Tujuh di sini.
Helmy memperkenalkan bakso durian di gerainya dalam tiga versi iaitu isi durian digaul bersama bebola daging; seulas durian disalut isi daging; dan isi durian yang segar dihidang bersama sup bakso.


Bapa kepada empat anak itu menjual bakso durian pada harga RM5 hingga RM10, bergantung kepada jenis buah durian yang diminta pelanggan.
Menurutnya, proses pembuatan bakso durian juga agak rumit berbanding bakso biasa kerana daging yang dikisar perlu diuli dengan tangan satu persatu bersama isi durian.
Menghasilkan bakso durian bukan sahaja memerlukan kemahiran, malah pemilihan jenis durian juga perlu dititikberatkan agar rasa durian masih kekal walaupun dimasak bersama sup, katanya.
“Selalunya saya memilih durian musang king atau durian kampung yang berkualiti tinggi kerana isinya yang tebal, bergas dan rasa lemak untuk menaikkan lagi rasa durian dalam bakso tanpa menghasilkan rasa muak,” katanya.
Berpengalaman 20 tahun berniaga bakso di pelbagai tempat termasuk Kuala Lumpur, Helmy berkata sup bakso yang dijualnya juga direneh bersama 13 jenis rempah bagi menghasilkan rasa sup yang asli dan enak. – Bernama
Aiskrim durian
Bahan-bahan diperlukan:
– 250 gram isi durian
– 200ml fresh cream atau whipping cream
– 200ml fresh milk
– 200ml air
– 50-70g susu pekat manis
Cara menyediakan dan memasak:
1) Masukan semua bahan ke dalam pengadun pengisar. Gaul sehingga sebati.
2) Masukkan susu sikit demi sedikit sambil merasa untuk mengelakkan daripada terlalu manis. Kalau durian itu manis, letak sedikit sahaja.
4) Bila sudah siap boleh simpan tempat peti ais.
5) Bila sudah hampir separuh beku, bawa keluar dari peti ais. Gaul dengan mixer sehingga nampak gebu. Lepas itu bekukan semula. (ulang 2 hingga 3 kali untuk dapat hasil yang lembut).
Boleh juga letak dalam bekas aiskrim untuk kanak-kanak.
Durian crepe
Bahan-bahan
– 4 sudu besar tepung gandum
– 2 sudu besar tepung ubi
– 1 sudu besar tepung kastard
– 1 sudu besar tepung jagung
– 1 sudu besar gula halus
– 1 biji telur
– 1 sudu kecil minyak masak
– 40 ml susu segar
– 150 ml air
– 1 sudu kecil esen vanilla
– Sedikit pewarna kuning
Cara-cara:
1) Masukkan gula, telur, minyak, susu segar, air, esen vanila dan juga pewarna ke dalam mangkuk dan kacau sebati.
2) Ayakkan kesemua tepung dan masukkan kesemua bahan ini ke dalam adunan tadi. Kacau lagi sehingga sebati.
3) Tapiskan adunan supaya tiada tepung yang masih berketul.
4) Panaskan kuali (non-stick pan), tuangkan satu senduk adunan ke dalam pan dan ratakan.
5) Biarkan sehingga permukaan crepe kering.
Kemudian terus angkat. (tak perlu diterbalikkan).
Bahan-bahan inti durian:
– 200ml susu segar
– 1 sudu kecil gula
– 1 sudu kecil tepung kastard
– 100gram isi durian
– 100ml krim putar bukan tenusu (whipping cream)
Cara-cara:
1) Kacau susu segar bersama gula dan tepung kastard di dalam periuk sehingga tepung hancur.
2) Letakkan periuk tadi di atas dapur.
3) Masak sehingga pekat dengan menggunakan api perlahan.
4) Masukkan isi durian dan kacau sebentar sehingga sebati. Angkat dan ketepikan.
5)Pukul krim putar dalam satu ke tiga minit sehingga kental.
Cara melipat durian crepe:
1) Ambil sekeping kulit (crepe). Pastikan bahagian bawah adalah permukaan yang licin.
2) Letakkan krim putar di tengahnya. (Lebih senang guna piping bag).
3) Letakkan sedikit atau mencukupi inti durian itu di atas krim putar.
4) Letakkan lagi krim putar untuk menutupi inti durian tadi.
5) Lipatkan kulitnya berbentuk segi empat. Tarik sedikit kulit supaya durian crepe menjadi cantik dan kemas.
Nota:
Pastikan krim putar dipukul semasa sejuk supaya lebih senang kental.