Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    BAKTI kenang yang memerlukan

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Bagi membantu meringankan bebanan anak-anak yatim, anak-anak berkeperluan khas dan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan di sekolah-sekolah rendah dalam perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Persatuan Badan Kebajikan Isteri-isteri ABDB (BAKTI) telah menyampaikan Derma Amal Bakti pada majlis yang diadakan di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan derma ialah Yang Di-Pertua BAKTI, Pengiran Datin Nuur ’Izzah Nabilah binti Pengiran Haji Ahmad Mahdi Al-Sufri.

    Dalam ucapannya di majlis itu, Pengiran Datin Nuur ’Izzah Nabilah antara lain menjelaskan mengenai kegiatan yang telah dilakukan oleh Persatuan BAKTI yang mana pada Ogos lalu, mereka telah mengungkayahkan Hari Mesra Keluarga BAKTI yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim, anak-anak berkeperluan khas dan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan berkenaan di samping mengeratkan tali silaturahim di antara ahli-ahli keluarga ABDB dan masyarakat.

    “Berkat sokongan yang membanggakan dari ahli-ahli keluarga yang ikut serta dalam acara tersebut, di samping sumbangan ikhlas daripada beberapa individu, kita telah berjaya mengumpul lebih daripada $4,000,” jelas beliau.

    Menurut beliau lagi, ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir BAKTI juga telah bermurah hati menghulurkan sumbangan masing-masing bagi menambah wang kutipan tersebut yang akan digunakan untuk membantu meringankan beban para ibu bapa terutama dalam persiapan menyediakan peralatan persekolahan anak-anak bagi tahun 2018.

    Sesi bergambar ramai Persatuan BAKTI bersama wakil-wakil penerima dan juga wakil dari syarikat-syarikat yang terlibat.
    Pengiran Datin Nuur ’Izzah Nabilah menyampaikan derma kepada wakil-wakil terdiri daripada guru-guru besar dan juga penjaga pelajar istimewa dari sekolah-sekolah rendah dalam perkhemahan ABDB.

    Setiap kanak-kanak yang dikenal pasti menerima baucar bernilai $100 yang boleh digunakan bagi membeli buku-buku, peralatan dan seragam sekolah.

    Sumbangan derma tersebut juga, jelas Pengiran Datin Nuur’Izzah Nabilah, adalah sebagai tanda sokongan dan pengiktirafan BAKTI akan kepentingan pembelajaran kanak-kanak di samping untuk menggalakkan mereka supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran walaupun menghadapi cabaran-cabaran dari segi kewangan, fizikal dan sosial.

    “Kita sama-sama berharap agar sumbangan yang kecil dan tidak sepertinya ini akan memberikan kesan yang positif dalam membentuk masa depan kanak-kanak yang berkenaan dan sebagai tanda hubungan muhibah kita dengan masyarakat,” beliau melahirkan harapan.

    Di majlis berkenaan, Pengiran Datin Nuur ’Izzah Nabilah telah menyampaikan dana berjumlah $4,000 berkenaan kepada lima orang wakil yang terdiri daripada guru-guru besar dan juga penjaga pelajar istimewa dari sekolah-sekolah rendah dalam perkhemahan ABDB.

    Sekolah-sekolah rendah yang dimaksudkan adalah Sekolah Rendah Pantai Berakas, Sekolah Rendah Tentera Laut Diraja Brunei, Sekolah Rendah Tutong Kem, Sekolah Rendah Binturan Penanjong Garison dan Unit Simpanan Gurkha.

    Selain itu, majlis juga menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada Syarikat Samima Sdn Bhd dan Syarikat Oddbox Pictures Sdn Bhd atas sumbangan derma.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda