KUALA LUMPUR – Pusat seni The Godown di Kuala Lumpur sedang mengongsikan kehidupan desa menerusi pameran Bakul:Bakul Harian dari Sabah, dengan memaparkan 70 bakul tradisional dari seluruh rantau kedua terbesar Malaysia.
Bakul-bakul berkenaan adalah daripada koleksi penulis Sabah, kurator dan pengumpul, Jennifer P Linggi, seperti yang digambarkan dalam bukunya, Jurnal Bakul Tradisional Borneo Utara, dengan edisi pertamanya diterbitkan pada 2017.
Sepanjang pengajiannya dalam seni tersebut, yang bermula hampir dua dekad lalu, dia membuat banyak lakaran bakul tradisional. Dia juga mengunjungi pelbagai komuniti berlainan di Sabah, tinggal bersama mereka selama beberapa hari, adanya seminggu, di setiap kampung.
“Memandangkan ia merupakan penyelidikan tidak formal dan tidak dirancang, saya mempunyai kebebasan untuk melukis perkara yang saya minati. Saya dapati satu-satunya cara untuk memahami satu-satu subjek adalah menghabiskan masa bersama pakar yang mempunyai pengetahuan mengenainya. Dalam kes bakul, ia bermakna orang yang membuat dan menggunakannya,” ujar Linggi dalam satu temu bual.
“Mereka yang saya jumpa mempunyai ilmu yang amat mendalam sehingga kata-kata bertulis tidak dapat menterjemah pemahaman mereka tentang persekitaran atau pengetahuan yang diperoleh. Mereka juga mendapati sukar untuk menjelaskan apa yang diketahui. Ia mungkin disebabkan pemahaman tersebut telah diturunkan secara lisan oleh moyang mereka,” tambahnya.
Selain kegunaan fungsian bakul dalam komuniti berkenaan, pembuatan bakul juga memperlihatkan kreativiti mereka, terserlah dalam warna, perincian anyaman dan juga corak. Dengan melukis setiap bakul, dan bukannya mengambil gambar, Linggi mengongsikan bagaimana dia mampu berasa empati dengan penganyam, malah membayangkan dia dapat membaca fikiran mereka ketika mereka melalui proses pembuatan tersebut.
“Saya berasa amat bangga apabila mereka menceritakan ciptaan mereka. Saya suka mendengar kisah yang dikaitkan dengan bakul, misalnya, demonstrasi kemahiran dalam menghasilkan Tadang (dari Penampang) merupakan cara untuk memikat seorang gadis.
“Setelah tinggal di beberapa kampung dalam komuniti etnik berlainan, saya sedar faktor paling umum adalah kepentingan semangat gotong-royong. Ia jelas kelihatan semasa majlis keramaian, seperti menyambut kelahiran anak atau perkahwinan, dan majlis duka seperti kematian. Semangat gotong-royong itu merupakan contoh unggul kerelaan penduduk berkumpul untuk membabitkan diri dalam kerja-kerja menanam padi atau mengumpul rotan untuk membuat bakul,” kata Linggi.
Bina koleksi bakul
Pada mulanya, Linggi mendapatkan bakul untuk digunakan sebagai rujukan melukis apabila dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelesaikan lakarannya semasa cuba mencatat maklumat daripada pembuat bakul.
Namun beberapa tahun selepas itu, dia amat berminat untuk mengumpulnya untuk dijadikan koleksi bakul dan artifak buatan tangan lain yang dibuat daripada bahan alami seperti buluh, rotan, bemban, bundusan dan mengkuang.
“Saya berasa amat seronok hanya dengan memeriksa butiran setiap bakul dan sentiasa mempunyai alasan untuk membeli bakul lain, dengan itu saya menganggapnya sebagai satu obsesi! Ramai kawan juga mengusik saya tentang sifat saya yang suka mengumpul objek dan berkata saya perlu membina sebuah muzium untuk menempatkan koleksi saya,” luahnya.
Bakul dalam pameran ini merangkumi separuh daripada koleksinya. Kebanyakan bakul dalam koleksinya diperoleh daripada pembuat atau pemilik, maka dia mengetahui tentang kisah yang datang bersama setiap bakul – daripada siapa yang membuat bakul, bagaimana ia dibuat dan gunung yang didaki untuk melihat projek membuahkan hasil.
Semangat inilah yang telah menggabungkan pameran bakul di Godown. Selain itu, pameran juga menawarkan beberapa siri gambar dan objek yang dikumpul dari perjalanan penyelidikan ke Kampung Bakuku di pedalaman selatan Sabah, seperti rotan, batang buluh, kulit pokok dan alat yang digunakan dalam pembuatan bakul.
Ia merupakan kunjungan rombongan kumpulan projek – yang termasuk pengasas The Godown, Wan Yee Lim dan Emily Wee, Jenniger dan pengarah pameran, Ling Hao – dilancarkan pada tahun lalu, untuk melihat komuniti memulihara dan mengaplikasikan pengetahuan tradisional mereka.
“Apabila kami melancarkan pameran ini, kami fikir kunjungan untuk melihat dunia bakul adalah penting, kerana kami tidak mahu memperkenalkan bakul sebagai objek pengumpul yang dipamerkan di luar konteks asal-usul dan tujuannya.
“Kunjungan ke Kampung Bakuku di selatan Kota Kinabalu merupakan lawatan amat istimewa. Di sana, kami mempelajari penganyam bukan sekadar menganyam tetapi juga mengambil bahagian dalam pengumpulan dan persediaan bahan yang diperoleh dari hutan.
Misalnya, kami melihat buluh dan rotan mempunyai pelbagai jenis spesies dan kualiti yang tidak diketahui kami, seperti adakah ia lebih sesuai untuk bakul, peralatan memasak atau objek harian lain? Kemahiran ini datang daripada ilmu pengetahuan yang telah diturunkan dari generasi penganyam ke generasi lain,” kata Lim.
Pemahaman lebih
Menerusi projek ini, kumpulan itu cuba menyediakan konteks untuk memahami kisah mengenai pameran bakul berkenaan. Turut dipamerkan di The Godown ialah tumbuh-tumbuhan seperti mengkuang, salingkawang, rotan dan buluh, maka pelawat boleh mendapat idea tentang keadaan asal sebelum ditebang dan dijadikan bahan berguna.
“Setiap bakul memberikan keajaiban baharu, transformasi daripada tumbuhan, dipotong, dibawa pulang ke kampung, diketam, dianyam, diisi dengan beras, menangkap ikan, membawa pisang, menyimpan ubat, membawa anak damit. Tidak ada dua bakul yang serupa, begitu juga tidak ada dua tumbuhan atau dua individu yang sama.
Sementara bakul di pameran tidak diragui amat unik, adalah jelas kisah yang diceritakan mempunyai makna tersendiri.
Ia adalah kisah asal-usul dan dunia yang dihuni iaitu habitat hutan serta penduduk dan seni yang telah dikuasai dan sempurnakan oleh beberapa generasi. – ANN/The Star