Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 8 Okt – Seramai 16 orang guru dan murid Sekolah Rendah Penapar, Tutong, kelmarin, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Cawangan Operasi ‘E’, Balai Bomba Lamunin, Tutong.
Hadir mengalu-alukan rombongan sekolah tersebut ialah Pegawai-pegawai Bomba Cawangan Operasi ‘E’ iaitu Stesen Komander Balai Bomba Lamunin, Pengawai Balai Yong Fook Ching; Pegawai Penyiasatan Pencegah Kebakaran, Pegawai Balai Hajah Siti Alam binti Haji Ali dan Pegawai Perhubungan Awam, Pegawai Balai Nurhalimatul Halimah binti Abdullah Chin.
Turut hadir ialah Pegawai Pemerintah Operasi ‘E’ Balai Bomba Daerah Tutong, Penguasa Kanan Awang Tahir bin Haji Muktal.
Semasa lawatan, rombongan sekolah telah mendengarkan taklimat mengenai Balai Bomba Lamunin Tutong yang disampaikan oleh Pegawai Balai Yong Fook Ching.
Rombongan seterusnya dibawa melawat ke Bangunan Balai Bomba Lamunin dan berpeluang menyaksikan pameran perkakas penyelamat, tatacara pemakaian baju PPE, tatacara menggunakan ‘turbex’ dan cara-cara menangkap ular dengan menggunakan alat khas iaitu ‘snake catcher’.
Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan poster keselamatan oleh Penguasa Kanan Bomba Awang Tahir kepada guru yang mengetuai rombongan berkenaan, Dayang Nur Aleesya binti Abdullah Lim.