Monday, February 3, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Balai Polis Panaga dibuka semula

    Oleh Daniel Lim

    KUALA BELAIT, 3 JUN – Setelah selesai menjalani beberapa pembaikpulihan, Balai Polis Panaga di Ibu Pejabat Daerah Polis Belait kini berwajah baharu dan dirasmikan pada majlis pembukaan semula balai tersebut, hari ini.

    Hadir menyaksikan majlis bersejarah itu ialah tetamu kehormat, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei (PDB), Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam.

    Juga hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku Penghulu Mukim Labi; Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali; Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Penguasa Polis Haji Mohammed Azrie bin Haji Talip selaku pengerusi majlis; ketua-ketua jabatan dan agensi, para pegawai kanan, pegawai polis dan kakitangan sekitar Panaga. Terdahulu, majlis dimulakan dengan perbarisan para pegawai polis yang menyambut kedatangan pesuruhjaya polis dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada tetamu kehormat yang menjelaskan pembukaan semula balai polis itu menggambarkan langkah strategik dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat setempat terutamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan.

    “Di samping itu, ia juga peluang bagi pasukan kami membentuk hubungan rapat bersama masyarakat sekeliling, untuk sama-sama membantu mengekalkan keamanan di kawasan ini sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 iaitu menjadi sebuah negara yang selamat,” tambahnya.

    Bagi membantu mencapai visi tersebut, beliau juga menekankan bahawa sokongan daripada masyarakat sekitar juga penting, di mana penduduk yang proaktif boleh bertindak sebagai mata dan telinga pihak polis bagi memastikan keselamatan dan keamanan di sekitar kampung tersebut.

    “Dengan pembukaan semula Balai Polis Panaga, saya berharap para penduduk di sini berpuas hati dengan perkhidmatan efektif, komitmen dan integriti yang diberikan kepada mereka,” ujarnya lagi. Selepas ucapan itu, pesuruhjaya polis bersama tetamu undangan dibawa meninjau ke balai tersebut yang menampilkan suasana baharu dari segi cat, peralatan dan juga kemudahan bagi memastikan pegawai polis yang ditugaskan di sana dapat memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan tersebut.

    Gambar ramai pesuruhjaya polis bersama jemputan dan para pegawai polis di hadapan Balai Polis Panaga yang baharu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda