Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Balai Raya Kampung Lubok Pulau telah dirasmikan sebagai Pusat Kemasyarakatan Sehenti atau One Stop Community Centre, hari ini, setelah melalui penambahbaikan yang dilaksanakan menerusi Projek Jangkauan Komuniti Program
Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-29.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohd Amirul Hadi bin Haji Mohd Tajudin dalam majlis yang berlangsung di Kampung Lubok Pulau, Tutong.
Hadir sama selaku tetamu khas ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan Penghulu Mukim Tanjong Maya, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong, ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) dan ahli-ahli Persatuan Kampung Lubok Pulau (PEKLAP).
Turut hadir ialah wakil-wakil daripada pihak penaja yang telah memberikan sumbangan bagi merealisasikan projek berkenaan.
Projek penambahbaikan berkenaan dilaksanakan oleh salah satu kumpulan terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan yang sedang mengikuti Program EDPSGO ke-29 yang dikelolakan oleh Universiti Teknologi Brunei.
Projek Jangkauan Komuniti adalah salah satu perisian program EDPSGO yang menghendaki peserta peserta program untuk melaksanakan projek kemasyarakatan.
Penambahbaikan Balai Raya Kampung Lubok Pulau sebagai Pusat Kemasyarakatan
Sehenti itu bermatlamat untuk menjadikannya sebagai sebuah lokasi yang selesa dan mudah dikunjungi oleh penduduk kampung.
Ia diharap akan dapat menghidupkan kembali kemeriahan suasana kampung dengan mengadakan aktiviti-aktiviti sihat yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta memupuk semangat kekitaan dan kerjasama rapat di kalangan penduduk kampung di pelbagai peringkat usia.
