PHNOM PENH, KEMBOJA, 30 SEPT – Seorang lelaki di pantai selatan Kemboja ditahan kerana memiliki balang tanah liat berusia hampir 300 abad yang dipercayai diambil dari bangkai sebuah kapal, kata seorang pegawai semalam.
Khieng Phearum, jurucakap wilayah Preah Sihanouk, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan lewat Ahad selepas pihak berkuasa memutuskan dia menyimpan 281 balang kecil dan besar yang diandaikan barang antik yang dilindungi di rumahnya.
Lelaki itu, yang masih disoal semalam, ialah juruselam profesional dan telah ditemui di kawasan sebuah bangkai kapal dalam air di Teluk Thailand di luar bandar pantai Sihanoukville di mana barang tembikar tersebut dipercayai telah dikeluarkan, kata Khieng Phearum.
Jelasnya dia tidak tahu bagaimana lelaki itu mengeluarkan balang tersebut atau berapa lama ia berada di rumahnya, namun pihak berkuasa mendapat tahu mengenai koleksinya, dan selepas diawasi, menahan lelaki itu di rumahnya.
Masih tidak diketahui sama ada lelaki itu berniat menjual balang tersebut, tetapi dia dijangka didakwa di bawah undang-undang yang melindungi warisan kebudayaan Kemboja.
Long Punna Serivath, jurucakap Kementerian Kebudayaan dan Seni Halus, berkata pada Isnin berdasarkan gambar balang, mereka mungkin dibuat pada abad ke-15 hingga abad ke-17, secara rasmi menjadikan balang tersebut sebagai barang purba. – AP
