PARIS, 1 Mei – Barisan penyerang terbaik Eropah dari pemecah rekod, Cristiano Ronaldo hingga remaja sensasi Kylian Mbappe akan berada di tengah gelanggang Eropah minggu ini dalam dua perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara yang menarik.
Ronaldo dan Real akan menjadi hos kepada Atletico Madrid Rabu ini dan pasukan Mbappe, Monaco mengalu-alukan Juventus keesokannya ketika pertembungan kelab-kelab besar Eropah menghampiri klimaksnya.
Balas dendam akan menjadi menu di Santiago Bernabeu bagi Atletico dan jurulatih dari Argentina mereka, Diego Simeone, sementara itu mereka mempunyai antara penyerang terbaik ketika ini, Antoine Griezmann.
Atletico pasti terdesak untuk melenyapkan memori kekalahan pahit dalam final Liga Juara-Juara 2014 dan 2016 kepada pesaing bandar mereka itu.
Mereka telah kehilangan Maria Gimenez kerana kecederaan groin, bermakna tiga pemain pertahanan utama mereka terlepas dalam kunjungan itu.

Skuad Simeone ketika ini mempunyai prestasi serangan yang baik, dengan dua jaringan Kevin Gameiro memastikan kemenangan 5-0 ke atas Las Palmas hujung minggu lalu.
Tetapi Real Madrid kendalian Zinedine Zidane, berharap untuk menjadi pasukan pertama yang mempertahankan gelara Liga Juara-Juara, merupakan lawan yang kuat dalam stadium mereka sendiri, di mana mereka memperoleh kemenangan lewat hujung minggu lalu untuk kekal ber-saing rapat dengan Barcelona di persada liga.
Dalam perlawanan terakhir Liga Juara-Juara mereka, Ronaldo telah mencipta hatrik dalam kemenangan suku akhir ke atas Bayern Munich, menjadikan jaringan keseluruhannya dalam kejohanan besar itu kepada lebih 100 gol dan merupakan satu rekod.
Bintang Portugal itu dijangkan bergandingan dengan James Rodriguez selepas bintang Colombia itu bermain dengan baik menggantikan posisi Gareth Bale yang cedera. – AFP