Balas dengan doa kebaikan, satu perbuatan terpuji

Doa yang diibaratkan sebagai senjata orang beriman, boleh digunakan untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain tetapi pada saat tertentu, kita dibolehkan mendoakan kemusnahan sesuatu kelompok.

Rasulullah SAW bersabda: Doa itu senjata orang mukmin. (HR Hakim). Bagaimanapun, orang beriman perlu mengikut teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW apabila mendoakan kebaikan, meskipun orang yang menyakiti Baginda. Pendakwah, Mohd Fauzi Mustaffa, berkata berdasarkan sunah Rasulullah SAW, doa terbahagi kepada dua, iaitu doa yang baik dan buruk. Beliau berkata, Rasulullah SAW pernah mendoakan kebaikan kepada mereka yang berbuat perkara tidak baik kepada Baginda, sekali gus menjadikannya sebahagian sunah perlu diamalkan umat Islam.

“Nabi SAW mendoakan kebaikan kepada penduduk Thaqif di Taif yang membaling batu kepada Baginda supaya mereka diberi hidayah. Bagaimana pula dengan reaksi kita, sekiranya dibaling batu seperti berlaku kepada Rasulullah SAW pada zaman Mekah itu,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, Allah SWT menyuruh Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS berjumpa dengan Firaun kerana sudah melampaui batas mengaku dirinya Tuhan. Allah SWT memerintahkan kedua-dua Rasul itu supaya bercakap kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut. “Jika kepada orang yang melampaui batas, kita perlu berlemah lembut, apa lagi individu melakukan kesilapan seperti membuka tudung atau perbuatan yang masih boleh ditegur dengan nasihat secara baik,” katanya.

Namun, bagaimana pula dengan golongan yang melakukan tindakan yang sudah terang-terang dimurkai Allah SWT hingga mengganggu dan menimbulkan perasan kurang senang masyarakat sekeliling? Apakah masih wajar mendoakan kebaikan kepada golongan yang seakan mempermainkan hukum dan ajaran Islam? Mohd Fauzi memberikan jalan tengah kepada individu yang berdepan dengan situasi itu yang memilih untuk berkata dengan perkataan baik terhadap golongan yang mungkin tersasar daripada jalan agama tetapi dengan syarat, selagi mana tidak mengganggu atau mengancam kita.

Ini berdasarkan sirah Rasulullah SAW, apabila seorang Yahudi datang berjumpa Baginda dan memberi salam dengan perkataan: ‘Celaka dan matilah (racunlah) ke atas engkau.’ Bagaimanapun, Rasulullah SAW yang memahami perkataan dimaksudkan orang Yahudi itu, Baginda SAW menjawab: ‘Ke atas kamu juga.’ Saidatina Aishah RA yang ada bersama-sama ketika itu menjawab: ‘Bahkan ke atas kamu juga binasa.’

Bagaimanapun, Nabi SAW menegur Aishah, sebaliknya menasihatkan isteri Baginda supaya tidak mengeji orang lain dan tidak menjawab doa yang tidak baik dengan perkataan tidak baik.

“Ini adab yang Nabi SAW ajarkan kepada kita, meskipun terhadap orang Yahudi yang sememangnya kita faham mereka terhadap Islam. Apatah lagi sekiranya ia berlaku sesama saudara Islam yang perlu kita elakkan daripada membuat komen dengan perkataan tidak baik. Doakan supaya mereka diberi hidayah, itu sudah mencukupi. Bayangkan jika ramai yang mendoakan, mereka lebih terdidik dan dengan izin Allah SWT dikurniakan petunjuk seterusnya berubah,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, percakapan baik dikira sebagai sedekah termasuk mendoakan kebaikan untuk orang lain. Oleh itu, setiap doa yang baik akan diberi pahala sedekah walaupun mendoakan kepada orang yang tidak baik.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah menyalahkan dan menyakiti hati orang lain dengan perbuatan mengecam menggunakan perkataan kasar kerana tindakan itu hanya membuatkan mereka keras hati.

Allah SWT berfirman: “Dengan rahmat Allah, engkau berlaku lemah lembut kepada mereka dan jika engkau berkeras, nescaya mereka akan lari daripada sisimu.” (Ali-Imran: 159) Bagaimanapun apabila kerosakan dilakukan mengganggu dan mengancam umat serta Islam, kita dibenarkan untuk mendoakan kehancuran atau kebinasaan kepada kumpulan itu. – Agensi

Rasulullah SAW selalu diganggu oleh musyrikin yang mengancam fizikal, nyawa dan agama hingga Baginda berdoa kepada Allah SWT dibinasakan golongan itu sebanyak tiga kali. Menurut Mohd Fauzi, ketika perang Ahzab yang menyaksikan Musyrikin dan Yahudi bergabung untuk menyerang Madinah, Rasulullah SAW mendoakan kehancuran mereka demi mempertahankan umat Islam.

“Ini menunjukkan kita boleh mendoakan sesuatu tidak baik, keburukan atau kehancuran andai musuh mengancam keselamatan kita. Bagaimanapun, kita perlu melihat kepada situasi tertentu kerana doa sebagai senjata juga banyak fungsinya,” katanya. – Agensi