MADRID, 29 Nov – Bintang Real Madrid yang kerap dilanda kecederaan, Gareth Bale memainkan peranan penting dalam aksi kembalinya selepas diketepikan selama dua bulan dengan membantu Real Madrid mara ke pusingan 16 terakhir Copa del Rey, awal pagi tadi.
Pemain sayap Wales itu melakukan hantaran cantik untuk gol pertama daripada dua jaringan yang disudahi oleh Borja Mayoral ketika Real seri 2-2 dengan kelab divisyen tiga, Fuenlabrada di Santiago Bernabeu.
Walaupun seri, skuad kendalian Zinedine Zidane itu mara ke pusingan 16 terakhir dengan kemenangan agregat 4-2.
Fuenlabrada, yang tewas 0-2 pada aksi pertama, mengejutkan Real apabila Luis Milla membuka tirai jaringan buat pasukan itu pada babak pertama.
Bagaimanapun, Mayoral meledakkan dua gol pada babak kedua selepas Bale dibawa masuk sebagai pemain simpanan selepas sejam perlawanan.
Alvaro Portilla menjaringkan gol penyamaan buat pasukan pelawat tetapi ia sudah terlewat dengan Real memastikan slot ke pusingan seterusnya menjadi milik mereka untuk menyertai Celta Vigo, Levante dan Leganes.
Sementara itu, pasukan yang bergelut dalam saingan Liga Sepanyol, Malaga tersingkir daripada saingan kali ini apabila tewas 2-3 secara agregat di tangan kelab divisyen dua, Numancia. – AFP