Friday, November 15, 2024
33.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bale, Ronaldo inspirasi kebangkitan Real

    MADRID, 27 Feb – Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo telah menyelamatkan Real Madrid yang bangkit selepas ketinggalan 2-0 sebelum menang 3-2 ke atas Villarreal untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak La Liga awal pagi tadi.

    Kemenangan itu berjaya memastikan Real terus menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, Barcelona yang sebelum itu mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Atletico Madrid.

    Real kini mendahului dengan kelebihan satu mata tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan berbanding pesaing mereka.

    Bale pertama kali disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas tiga bulan rehat akibat kecederaan dan juara Eropah itu kelihatannya bakal tewas buat kali kedua berturut-turut apabila Villarreal selesa mendahului 2-0 pada awal separuh masa kedua perlawanan. Pada minggu lalu, Real tewas mengejut kepada Valencia dengan jaringan 2-1.

    Manu Trigueros melakukan sepakan voli yang menewaskan Keylor Navas pada minit ke-50 untuk gol pertama Villarreal sebelum Cedric Bakambu meledak gol kedua enam minit kemudian.

    Bintang penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengambil bola selepas menjaringkan gol penyamaan ke atas Villareal selepas ketinggalan 2-0. – AFP
    Bintang penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengambil bola selepas menjaringkan gol penyamaan ke atas Villareal selepas ketinggalan 2-0. – AFP

    Ronaldo hampir merapatkan jurang selepas itu tetapi sepakan voli bintang Madrid ini terkena palang gol.

    Bagaimanapun, Bale memberikan kelegaan apabila melompat tinggi untuk menyambut hantaran lintang Dani Carvajal untuk gol pembukaan selepas perlawanan berlangsung selama 20 minit di separuh masa kedua.

    Gol pertama Real itu menyaksikan Villarreal yang lebih menguasai permainan sepanjang sejam pertama perlawanan terpaksa bertahan menahan serangan berterusan Real.

    Pada minit ke-74, Ronaldo menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti apabila bola terkena tangan Soriano ketika keadaan kelam kabut di depan gawang tuan rumah.

    Keadaan Villarreal juga bertambah parah apabila penjaga gol, Sergio Asenjo terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan Andres Fernandez.

    Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Real untuk terus menekan Villarreal dan Fernandez gagal menyelamatkan tandukan kencang Alvaro Morata yang menerima hantaran lintang Marcelo ketika perlawanan berbaki tujuh minit. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda