MADRID, 31 Mei – Bintang Wales, Gareth Bale percaya dia tidak cukup cergas untuk beraksi selama 90 minit bersama Real Madrid ketika kunjungan ke Cardiff bagi aksi final Liga Juara-Juara menentang Juventus, Ahad ini.
Pemain itu turut mengakui bahawa dia menggunakan ubat penahan sakit untuk bermain pada awal musim ini dan tidak beraksi bersama juara Sepanyol itu sejak dipalit kecederaan paha ketika menentang Barcelona pada 23 April lalu.
Menurut Bale lagi, dia terpaksa menerima padah kerana terburu-buru untuk kembali bermain selepas mengalami kecederaan ligamen pada November lalu apabila buku lali kanannya masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya tidak 100 peratus cergas, saya sudah tidak bermain untuk enam ke tujuh minggu,” kata Bale.
“Pembedahan yang saya lalui jelas masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya mengharungi perlawanan dengan kesakitan, malah apabila saya pulang saya perlu mengambil pil untuk mengharungi perlawanan dan juga latihan.
“Enam atau tujuh minggu lalu, saya dapat merehatkan buku lali saya sedikit dan benar-benar mahu ia menjadi bertambah baik dan pulih daripada kecederaan yang berpunca daripadanya.”
Bale kembali bermain lebih awal daripada yang dijadualkan pada Februari lalu selepas menjalani pembedahan buku lali dan menjaringkan gol ketika menentang Espanyol.
Namun, dia kemudian dilanda masalah otot sebelum ia menjadi serius ketika menentang Barca, bulan lalu.
Bagi kunjungan ke Cardiff, Bale kembali menjalani latihan dengan harapan untuk beraksi di kejohanan elit Eropah itu ketika Real berhasrat untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan di era Liga Juara-Juara.
Tetapi, dia tetap realistik yang peluangnya kelihatan sukar terutama dengan prestasi terbaik yang dipersembahkan Isco dalam pemburuan kesebelasan utama.
Meskipun tanpa Bale, Madrid telah memenangi La Liga buat kali pertama dalam tempoh lima tahun minggu lepas, dengan prestasi Isco dalam beberapa minggu kebelakangan ini membawa kepada kejayaan itu. – AFP