Saturday, December 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bali dengan masalah sampah

    BALI – WALAUPUN kelihatan sangat indah dan permai, namun Pantai Kuta yang dikelilingi dengan pokok kelapa sawit itu telah lama menjadi kegemaran para pelancong yang berusaha mencari matahari dan melayari suasana yang aman dan damai, namun suasana itu pada hari ini sudah jauh berubah.

    Warna keemasan pantai berkenaan sudah semakin menghilang di bawah himpunan gunung sampah. Jerami plastik dan pembungkus makanan tersusun di antara kawasan para pengunjung berjemur sementara para peluncur merentasi pukulan ombak dan cuba menghindari sisa sampah yang dibawa oleh arus laut dan sungai.

    “Setiap kali saya ingin berenang, keadaan tidak begitu baik malah saya melihat banyak sampah di sini setiap hari dan ia sentiasa datang dari lautan serta ia memberikan saya satu gambaran yang sangat mengerikan,” kata seorang pengembara dari Austria, Vanessa Moonshine kepada wartawan media. Sering digelar sebagai syurga di bumi, pulau percutian terhebat di Indonesia itu telah mengalami satu gambaran imej yang tidak baik disebabkan oleh himpunan sampah.

    Negara Nusantara yang mempunyai lebih 17,000 pulau itu merupakan penyumbang kedua terbesar di dunia terhadap puing-puing laut selepas negara China dan dianggarkan sekitar 1.9 juta tan metrik sampah yang besar dihasilkan setiap tahun oleh negara Indonesia.

    Gelombang plastik membanjiri kawasan sungai dan laut serta menyebabkan masalah yang banyak selama bertahun-tahun. Sampah ini juga berpotensi untuk menyumbat saluran air di bandar raya, meningkatkan risiko banjir dan mencederakan atau membunuh haiwan marin yang menelan atau terjebak oleh pembungkus plastik.

    Masalah itu semakin memburuk sehingga para pegawai di Bali pada bulan lalu menyatakan bahawa satu kecemasan sampah di sepanjang pantai berukuran enam kilometer itu termasuk pantai-pantai terkenal di Jimbaran, Kuta dan juga Seminyak.

    Para pegawai telah mengarahkan sekitar 700 orang pembersih dan 35 trak untuk mengeluarkan 100 tan serpihan sampah setiap hari ke tapak pelupusan sampah yang terletak berdekatan dengan bandar tersebut.

    Para pegawai telah mengarahkan sekitar 700 orang pembersih dan 35 trak untuk mengeluarkan 100 tan serpihan sampah setiap hari ke tapak pelupusan sampah yang terletak berdekatan dengan bandar tersebut. – AFP
    Masalah itu semakin memburuk sehingga para pegawai di Bali pada bulan lalu menyatakan bahawa satu kecemasan sampah di sepanjang pantai berukuran enam kilometer itu. – AFP

    “Mereka yang berpakaian seragam hijau berusaha untuk mengumpul sampah tersebut kemudian memindahkannya tetapi pada keesokan harinya, saya melihat keadaan masih lagi sama, sampah tetap tinggi membukit,” kata Claus Dignas dari Jerman, yang mendakwa bahawa dia melihat lebih banyak sampah setiap kali melawat pulau berkenaan.

    “Tiada sesiapa yang mahu duduk di kerusi pantai yang enak dan bagus serta melihat pemandangan yang menyakitkan, sampah,” tambahnya lagi kepada media.

    Masalah mengenai sampah di Pulau Bali adalah yang paling buruk semasa musim monsoon, ketika angin kencang yang mendorong sisa-sisa laut ke pantai kemudian membanjiri kawasan pantai dan juga sungai.

    “Sampah ini sebenarnya tidak berasal dari penduduk-penduduk kampung yang tinggal di kawasan Kuta dan juga kawasan yang berdekatan dan ia sebenarnya agak sedikit pelik jika sampah-sampah ini datang dari perbuatan penduduk kampung di Kuta,” kata Putu Eka Merthawan dari agensi lingkungan tempatan kepada wartawan AFP.

    Peperangan dengan sisa sampah

    Sekitar 72 kilometer dari kawasan Kuta, Gunung Agung telah mengancam untuk meletus selama dua bulan, menyebabkan pelancong membatalkan lawatan dan menghilangkan berpuluh-puluh ribu penduduk yang tinggal dalam radius 10 kilometer dari kawah gunung berapi itu.

    Tetapi masalah mengenai sisa pulau itu tidak kurang daripada ancaman, kata I Gede Hendrawan, penyelidik oseanografi alam sekitar dari Univeristas Udayana Bali. “Sampah adalah estetika yang mengganggu pelancong, tetapi isu mengenai sisa plastik lebih serius.

    Mikroplastik boleh mencemari ikan, jika dimakan oleh manusia, ia boleh menyebabkan masalah terhadap kesihatan termasuk kanser,” tambah Gede lagi kepada wartawan media.

    Indonesia adalah salah satu daripada hampir 40 buah negara yang merupakan sebahagian daripada kempen Pertubuhan Laut Bersih PBB, yang mana bertujuan untuk menghentikan aliran sampah plastik yang mencemarkan lautan.

    Sebagai sebahagian daripada satu komitmen negara itu, pihak kerajaan telah berjanji untuk mengurangkan sisa plastik marin sebanyak 70 peratus menjelang tahun 2025.

    Pihak kerajaan juga merancang untuk meningkatkan perkhidmatan kitar semula, membendung penggunaan beg plastik, melancarkan kempen pembersihan serta meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya.

    Namun, skala masalah yang dihadapi oleh Indonesia, sangat besar, disebabkan oleh penduduknya yang ramai iaitu sekitar 250 juta dan infrastruktur pemprosesan sisa makanan yang rendah.

    Hendrawan berkata bahawa penduduk tempatan dan pelancong bertanggungjawab atas masalah sampah pulau itu, menggesa pihak berkuasa untuk melabur lebih banyak sumber ekonomi untuk menangani masalah itu.

    “Kerajaan Bali harus meluangkan lebih banyak belanjawan untuk meningkatkan kesedaran rakyat untuk menjaga keadaan sungai-sungai tempatan, bukan untuk membuang sampah. Pihak kerajaan juga harus meningkatkan kempen untuk mengurangkan penggunaan plastik pembungkusan dan larangan beg plastik percuma di kedai-kedai,” tambah Hendrawan mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda