JAKARTA, 2 JUN – Gabenor Bali, I Wayan Koster, telah mengumumkan rancangan untuk melarang pengeluaran air botol kurang daripada 1 liter sebagai usaha menangani masalah sisa pepejal yang semakin memburuk di pulau itu, yang turut dikaitkan dengan beberapa bencana alam sekitar.
Pada Khamis lalu, Koster telah memanggil para pengeluar air botol ke satu pertemuan di Denpasar untuk mengumumkan dasar baharu itu, yang akan berkuat kuasa mulai Januari tahun hadapan.
“Demi memelihara alam sekitar dan ekosistem Bali, pengeluaran air botol di bawah satu liter mesti dihentikan,” kata Koster seperti dilaporkan Kompas.com.
Beliau berkata dasar tersebut telah mendapat sokongan penuh daripada kerajaan pusat dan Bali akan menjadi contoh bagi wilayah lain dalam mengamalkan dasar mesra alam.
Bulan lalu, Koster turut mengeluarkan satu pekeliling sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh mengurangkan sisa di Bali. Peraturan itu melarang penggunaan plastik guna sekali termasuk beg plastik, produk polistirena dan penyedut minuman plastik di pelbagai premis termasuk perniagaan, pejabat kerajaan, sekolah, hotel, restoran, pasar dan tempat ibadah.

Premis-premis itu juga telah diwajibkan untuk mengasingkan sisa sampah mereka, membuat kompos bahan organik dan mengitar semula bahan bukan organik, sama ada secara sendiri atau melalui perkhidmatan pihak ketiga, supaya hanya sisa baki dihantar ke tapak pelupusan.
Perniagaan yang gagal untuk mematuhi peraturan tersebut, boleh berdepan dengan pembatalan lesen, manakala bagi kampung yang tidak menguatkuasakan dasar ini berisiko kehilangan bantuan kerajaan.
Satu kajian pada 2019 telah mendedahkan Bali menghasilkan 1.6 juta tan sampah setiap tahun, dengan kira-kira 303,000 tan daripadanya adalah dari sisa plastik.
Namun, hanya sekitar 48 peratus sisa itu diurus secara bertanggungjawab sama ada melalui kitar semula atau pelupusan.
Sebahagian besar sampah yang dikutip tidak sampai ke pusat kitar semula atau 10 tapak pelupusan rasmi di Bali, menyebabkan kira-kira 33,000 tan plastik bocor ke saluran air setiap tahun.
Kajian itu juga mendedahkan pelancong domestik dan antarabangsa menghasilkan 3.5 kali lebih banyak sampah setiap hari berbanding penduduk tempatan, merangkumi 13 peratus daripada jumlah keseluruhan sisa di Bali. – ANN/The Jakarta Post

