Tuesday, July 2, 2024
26.7 C
Brunei

    -

    Bali tingkatkan pemantauan terhadap pelancong asing

    JAKARTA, 30 JUN – Pihak berkuasa di Pulau Bali, Indonesia sedang meningkatkan pemantauan terhadap pelancong asing selepas beberapa insiden jenayah yang telah mengganggu kehidupan masyarakat tempatan, lapor Xinhua.

    Direktorat Imigresen negara dengan kerjasama polis tempatan telah meningkatkan pengawasan terhadap warga asing, termasuk menguatkuasakan peraturan lalu lintas.

    Saffar Muhammad Godam, Pengarah Pengawasan dan Penguatkuasaan di Direktorat Imigresen, mengatakan rakyat asing yang melanggar undang-undang akan menghadapi tindakan pentadbiran imigresen  yang bertujuan untuk menghalang pelanggaran undang-undang pada masa akan datang.

    “Tindakan pentadbiran imigresen terhadap orang asing yang melanggar undang-undang diberikan, supaya ada kesan pencegahan,” kata Saffar seperti yang dilaporkan media tempatan di Pusat Tahanan Imigresen Denpasar, Bali.

    Sementara itu, pejabat Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia negara di Bali telah memberi mandat kepada pihak berkuasa kampung tradisional  di wilayah itu untuk mengawasi aktiviti pelancong asing dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang dan adat tempatan.

    “Ini merupakan usaha untuk mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di Bali. Dengan melibatkan pihak berkuasa kampung, akan lebih mudah bagi kami, pihak imigresen untuk memantau warga asing,” kata ketua pejabat itu, Pramella Yunidar Pasaribu baru-baru ini di Denpasar.

    Bali merupakan salah sebuah pulau peranginan di negara Asia Tenggara yang menerima pelancong asing paling ramai setiap tahun. Pulau ini terkenal dengan pantai dan pemandangan lautnya.

    Namun, dalam beberapa minggu akhir ini, agensi berita tempatan melaporkan beberapa jenayah dan tingkah laku tidak senonoh dilakukan pelancong asing yang menjejaskan ketenteraman awam atau melanggar undang-undang negara dan adat istiadat tempatan.

    Pada Rabu, pihak berkuasa imigresen Indonesia menahan 103 warga asing – 12 wanita dan 91 lelaki – di sebuah vila di Bali kerana disyaki melakukan jenayah siber, termasuk perjudian dalam talian. Mereka semua akan segera dideportasi.

    Beberapa saluran media tempatan juga melaporkan ramai orang tempatan di pulau itu yang merungut tentang tingkah laku pelancong asing.

    Awal bulan ini, seorang warga asing di Bali menjadi tular di media sosial di Indonesia kerana menghentikan seorang pemandu wanita, lalu memukul dan menendangnya sehingga jatuh di tengah jalan.

    Seorang warga asing lain, didakwa seorang rakyat Britain, menarik perhatian di media sosial dengan video yang menunjukkan dia merampas trak yang mengangkut patung dan memandunya secara semberono dari Kerobokan, Kuta Utara, ke Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai. Dia menyebabkan trak itu melanggar beberapa kereta di jalan dan merosakkan beberapa kemudahan di lapangan terbang.

    Pada beberapa bulan lepas, ada pelancong asing dilaporkan telah menunggang motosikal secara melulu di Bali dan membahayakan pemandu lain. Pejabat Imigresen Bali juga mendapati beberapa pelancong asing yang bekerja secara haram di Bali.

    Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia Sandiaga Uno berkata terdapat keperluan untuk mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pelancong asing bagi mengekalkan keadaan yang selesa untuk penduduk tempatan Bali. 

    “Jadi, kuncinya adalah penguatkuasaan undang-undang jika ada keadaan tidak teratur. Langkah konkrit ialah untuk menguatkuasakan undang-undang dengan tegas kepada pelanggarnya. Tidak ada toleransi, terutama ketika ada pemalsuan taraf pemastautin. Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengusir mereka,” kata Sandiaga.

    Ahli Sosiologi Wahyu Budi Nugroho daripada Universiti Udayana berpangkalan di Bali berkata tingkah laku yang ditegah undang-undang ditunjukkan pelancong asing di Bali bukan sahaja menyakitkan penduduk tempatan tetapi juga Pulau Bali yang terkenal dengan tarikan kebudayaan dan kerohaniannya kepada pelancong.

    Wahyu berkata perlu ada tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea S wujudkan kementerian populasi, tangani penuaan, kadar kelahiran rendah

    SEOUL, 1 JULAI – Korea Selatan akan mewujudkan kementerian baharu bagi menangani kadar kelahiran rendah dan isu penuaan penduduk yang menjadi antara cabaran terbesar...