DENPASAR, INDONESIA, 6 MEI – Pempengaruh Rusia dan suaminya akan diusir dari Bali selepas membuat rakaman gambar bogel di pokok suci yang mana ia menyalahi budaya tempatan, menurut pegawai hari ini.
Alina Fazleeva, yang mempunyai ribuan pengikut di Instagram, bergambar tanpa mengenakan pakaian di pokok ara yang berusia 700 tahun di sebuah kuil terletak di daerah Tabanan.
Gambar, yang diambil oleh suaminya, Andrey Fazleev, dimuat naik di Instagram dan kemudian menjadi tular, membuatkan penduduk Bali berasa jengkel.
Gunung-gunung, pokok dan alam semula jadi yang lain dianggap sebagai suci dalam budaya hindu Bali.
“Kedua-duanya terbukti menjalankan aktiviti yang membahayakan ketenteraman awam dan tidak menghormati budaya orang tempatan,” kata ketua imigresen Bali, Jamaruli Manihuruk kepada wartawan hari ini.
“Jadi, mereka akan diusir.” – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P10-B-WEB_07052022.jpg)