“PERJALANAN jauh tak ku rasa, kerana hati ku melonjak sama, ingin berjumpa sanak saudara, yang selalu bermain di mata.” Berikut adalah petikan lagu malar segar hari raya yang dinyanyikan oleh Seniman Agung, Datuk Sudirman Haji Arshad yang memaparkan budaya masyarakat Malaysia yang ramai-ramai menuju pulang ke kampung halaman menjelang hari raya.
Sekitar 1980-an dan 1990-an sewaktu pertumbuhan ekonomi pesat dan negara mengalami urbanisasi yang tinggi, puluhan ribu anak muda mula berhijrah ke kawasan bandar sama ada untuk menuntut ilmu, bekerja, berniaga atau mencari peluang kejayaan. Daripada mengisi pekerjaan kilang hinggalah ke kerja ‘gomen’ rata-rata anak muda dari kawasan pedalaman seterusnya berkahwin dan bermastautin di bandar.
Sudah pasti apabila tibanya hari raya, maka dibawalah menantu dan cucu-cucu untuk bertemu opah, atok, nenek dan tok wan yang berada di kampung. Daripada menaiki bas hinggalah ke keretapi Ekspress Rakyat, budaya balik kampung menjadi sebahagian identiti hari raya – samalah seperti rendang, lemang, ketupat, pelita dan baju raya.
Namun, mungkin penulis antara golongan minoriti yang tidak merasakan semangat balik raya sewaktu membesar. Lagu Sudirman itu lebih bermakna bagi penulis kalau diubah dari balik kampung ke balik bandar kerana Subang Jaya merupakan tempat penulis menyambut Syawal saban tahun.
Semangat balik kampong
Namun itu tidak bermaksud penulis tidak merasakan semangat balik kampung walaupun berada di kawasan bandar, tidak, malah boleh penulis katakan hijrah sekali setahun ini membawa kesan yang amat besar kepada diri penulis dan keadaan sekeliling penulis kerana pada satu ketika boleh dikatakan Kuala Lumpur menjadi lengang dan sunyi.
Masih teringat penulis sewaktu membesar dahulu, selain daripada melihat anak bulan, satu petanda bahawa hari raya semakin dekat ialah dengan mengira jumlah kereta yang lalu lalang di jalan raya. Kalau budak kampung menandakan erti hari raya dengan dentuman meriam buluh manakala anak bandar seperti penulis akan menandakan hari raya dengan membelanjakan bajet raya di Subang Parade yang merupakan pusat beli-belah paling hebat suatu ketika dahulu. Seronok jugalah menjadi budak bandar, daripada deretan kedai yang tutup, jalan yang lengang dan pekerja 7-11 memakai baju raya, ada keindahan tersendiri beraya di Kuala Lumpur sebenarnya.
Suatu ketika dahulu, bandar-bandar kecil seperti Kuala Kangsar, Taiping, Alor Gajah atau Temerloh menjadi tempat berkumpulnya adik beradik sewaktu hari raya, kini ianya telah mula diganti dengan lokasi seperti TTDI, Lembah Keramat, Subang Jaya dan Petaling Jaya. Apabila generasi ketiga sudah mula ke sekolah, rata-rata anak-anak kepada generasi pertama penghijrah kota akan berpindah tidak jauh dari rumah orang tua mereka.
Malah dalam menghadapi realiti kehidupan kota moden ini yang memerlukan kedua suami dan isteri untuk bekerja, rata-rata anak mereka akan bersekolah berhampiran dengan rumah atuk dan nenek supaya mudah untuk dijaga sewaktu ibu dan ayah sedang bekerja. Suatu ketika dahulu balik kampung itu bermaksud meredah lebuh raya dan jalan kecil berjam-jam lamanya untuk pulang ke kampung, kini balik kampung juga boleh bermakna memandu pulang di pagi raya melalui lebuh raya Shah Alam menuju ke Taman Melati.
Membakar lemang di laman telah diganti dengan membeli di gerai tepi jalan, menggaul rendang tok di tepi tangga kini telah beralih kepada membungkusnya dari pasar tani dan pelita telah diganti dengan lampu LED berwarna-warni yang digantung di pagar rumah.


Budaya mengambil gambar sekeluarga di kedai gambar kini telah diganti dengan hanya memuat naik ke Instagram atau Facebook dan setiap benda yang kita makan di hari raya akan dimaklumkan secara siaran langsung melalui instastory atau live streaming, tapi janganlah sampai menziarahi kubur pun nak buat lintasan langsung harapnya.
Walaupun ada yang bernostalgia dan mengimbau kenangan lalu akan keindahan hari raya yang kini telah berubah dengan penghijrahan dan kemajuan teknologi, penulis kira tidak harus kita memandang negatif semata-mata terhadap perubahan ini. Memang kita rindu akan keindahan dan budaya suatu ketika dahulu, tetapi inilah kenyataan kita pada hari ini, masyarakat Islam kita pada hari ini, dan penulis kira dari kita terlalu tergantung kepada imbauan kenangan dahulu, wajar untuk kita memberi peluang untuk mencari keindahan dalam budaya baru hari raya masa kini.
Penulis berasa cukup seronok dan gembira melihat kawan-kawan yang memakai baju baru warna-warni di dalam garis masa media sosial, atau seronok untuk melihat apa yang mereka jamu pada pagi raya dan melihat gambar-gambar sanak saudara beramai-ramai berkumpul. Memanglah, rindu dan teringin juga melihat orang beraya dengan teratak kayu dan lampu pelita minyak tanah, tapi mungkin bagi definisi hari ini kampung bukanlah sekadar gugusan rumah kayu di pinggir hutan, kampung juga bukanlah bermaksud penempatan di sawah padi atau pinggir lautan, kampung juga boleh berada di tepi lebuhraya, susunan rumah teres, rumah kecil tinggi di atas pangsapuri yang diperbuat dari batu dan besi.
Kampung dalam erti kata hari ini, erti kata sebenar, ialah di mana keluarga kita berada, di mana ada orang sentiasa mengingati kita dan terukir senyuman mereka apabila melihat kehadiran kita. Tak kiralah Semporna Sabah atau Subang Jaya, pulanglah ke kampung halaman anda dengan gembira dan pada kesempatan ini ingin penulis mengucapkan kepada pembaca sekalian Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin, dan berhati-hatilah di jalan raya sewaktu pulang ke kampung anda.