ITALI, 5 NOV – Mario Balotelli membuat penampilan pertamanya di Serie A selepas empat tahun apabila dia masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan dalam kemenangan 1-0 Genoa ke atas Parma kelmarin dan menerima kad kuning dalam masa lima minit.
Balotelli masuk pada minit ke-86 dan dilayangkan kad kuning pada masa kecederaan kerana melakukan kekerasan.
Bekas pemain antarabangsa Itali itu menandatangani kontrak dengan Genoa yang diancam penyingkiran minggu lalu, selepas kali terakhir bermain dalam divisyen teratas Itali dengan kelab asalnya, Brescia pada musim 2019-2020.
Rentetan tanpa kemenangan Parma kini mencapai sembilan perlawanan dengan kekalahan, walaupun tuan rumah mempunyai peluang terbaik pada separuh masa pertama apabila Valentin Mihaila dan Anas Haj Mohamed hampir membuka jaringan.
Tetapi Genoa mengawal permainan selepas rehat apabila jaringan Morten Thorsby dibatalkan selepas 49 minit dan percubaan Andrea Pinamonti terkena tiang tidak lama kemudian. Pinamonti menjaringkan gol kemenangan ketika berbaki 11 minit apabila dia meyudahkan bola terlantun daripada rembatan rendah Jeff Ekhator.
Ia merupakan kemenangan pertama Genoa sejak menewaskan Monza pada 24 Ogos dan membawa mereka keluar dari kedudukan terendah liga ke tempat ke-17 manakala Parma berada di tempat ke-15.
Selain itu, Empoli meraih kemenangan pertama di tempat sendiri dalam musim liga Itali selepas jaringan Pietro Pellegri dua minit memasuki babak kedua sudah memadai untuk menewaskan Como, 1-0.
Penyerang Torino yang dipinjamkan itu memanfaatkan pertahanan yang lemah sebelum memasuki ke dalam kotak penalti dan menjaringkan gol dari sudut yang sukar.
Ia merupakan gol pertama Empoli di laman sendiri musim ini. Kelab itu hanya menjaringkan lapan gol dalam 11 perlawanan tetapi masih berada di tangga ke-11 Serie A berkat pertahanan kuat yang hanya bolos sembilan kali. – AP