Wednesday, September 18, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Balu mengaku tidak bersalah bunuh ‘Don Juan’ Jepun

    WAKAYAMA, JEPUN, 12 SEPT – Seorang wanita berusia 28 tahun hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh suaminya, warga emas kaya yang menyifatkan dirinya sebagai ‘Don Juan’ di kawasan barat Jepun tempat dia tinggal, lapor agensi berita Kyodo.

    Mengikut pertuduhan Saki Sudo didakwa menyebabkan Kosuke Nozaki yang berusia 77 tahun ketika kematiannya dengan sengaja menelan sejumlah besar dadah perangsang pada 24 Mei 2018.

    Sebagai presiden syarikat jualan arak dan perniagaan hartanah di Wilayah Wakayama, Nozaki dikatakan telah mengumpul sekitar 1.3 bilion yen (AS$9.1 juta) dalam kekayaan peribadi.

    Dia berkahwin dengan Sudo, yang lebih 50 tahun lebih muda daripadanya pada Februari 2018.

    Mahkamah Daerah Wakayama merancang untuk menyampaikan keputusan kes itu pada 12 Disember tahun ini. 

    Sudo juga disabitkan kesalahan awal bulan ini kerana mencuri daripada lelaki lain antara 2015 dan 2016 dan berdepan hukuman penjara tiga tahun enam bulan.

    Nozaki terkenal kerana menerbitkan autobiografi bertajuk Don Juan of Kishu: The Man Who Gave 3 Billion Yen to 4,000 Beautiful Women pada 2016, menyamakan dirinya dengan playboy.

    Kishu ialah nama bersejarah bagi kawasan di wilayah tempat dia tinggal.

    Sudo berkata dia menemukan Nozaki rebah di rumah mereka, menurut sumber penyiasatan dengan punca kematian disahkan sebagai ‘keracunan perangsang akut’, tetapi tiada kesan jarum ditemukan pada tubuhnya.

    Rakaman kamera keselamatan rumah Nozaki tidak menunjukkan mana-mana individu lain yang masuk atau keluar dan analisis telefon pintar Sudo mendedahkan dia pernah mencari perkataan seperti ‘perangsang’ dan ‘pembunuhan’ sebelum kejadian, kata sumber itu, yang membawa kepada penahanannya pada April 2021. Dia didakwa pada bulan berikutnya.

    Fokus perbicaraan ialah sama ada dia boleh disabitkan dengan kesalahan membunuh setelah pihak pendakwaan memutuskan untuk mengemukakan kes berdasarkan bukti keadaan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda