Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bam akan perkenal projek 2024

    KUALA LUMPUR, 11 SEPT– Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan  memperkenalkan  Projek 24 dengan misi meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2024 di Paris serta menjadi finalis Piala Thomas 2024.

    Pengenalan struktur kejurulatihan yang baharu ini bagaimanapun tidak akan mengabaikan perancangan ang sedang dilaksanakan untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

    Projek 24 itu juga akan menyaksikan Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choon Hann mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pemantau bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

    Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM Datuk Kenny Goh berkata menerusi  Projek 24, BAM akan mempunyai pelan yang lebih strategik dan efisien dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan.

    Selain itu, beliau berkata perubahan struktur juga akan membabitkan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih kompetitif ke arah budaya kerja yang lebih cemerlang.

    Kenny berkata menerusi program baharu ini, perancangan khusus akan dirangka untuk setiap pemain merangkumi kejohanan, tahap kecergasan, kekuatan mental dan penyediaan fail individu untuk penilaian setiap empat bulan.

    “Barisan kejurulatihan juga akan menjalani proses penilaian yang sama seperti pemain bagi memastikan Projek 24 bergerak selari dengan perancangan.

    “Kita tidak mengabaikan perancangan yang sedang dilaksanakan bagi Tokyo 2020 malah pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo nanti adalah peristiwa penting kepada kita untuk Projek 24,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.

    Beliau berkata pelaksanaan Projek 24 itu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Ahli Majlis BAM bagi mendapatkan kelulusan sebelum dilaksanakan sepenuhnya secepat mungkin.

    Dalam pada itu, Kenny berkata penstrukturan baharu juga terarah kepada penerapan semangat berpasukan dan tiada lagi perbezaan antara perseorangan dan beregu kerana mereka digabungkan di bawah satu bahagian. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda