KUALA LUMPUR, 2 MAC – Sukan SEA Hanoi pada Mei menjadi landasan terbaik untuk barisan pemain muda badminton Malaysia mencipta nama dengan membuktikan kemampuan menyerap tekanan ketika beraksi di pentas antarabangsa.
Ia selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan kombinasi pemain remaja dan pelapis akan dihantar membawa cabaran negara pada temasya dwitahunan itu yang dijadual bermula 12-23 Mei.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata ketetapan itu dibuat memandangkan penganjuran Sukan SEA bertindih dengan kejohanan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber yang dija-dual berlangsung di Bangkok, Thailand pada 8-15 Mei.
“Maka fokus kami sudah pastilah saingan Piala Thomas dan Uber tetapi Sukan SEA pun penting juga. Saya percaya pemain-pemain (dipilih ke Sukan SEA) ini mereka masih mampu memberikan yang terbaik,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM hari ini.
Kenny berkata kem badminton negara dibarisi 10 pemain lelaki dan 10 wanita yang diletakkan dalam kategori A dan mengambil bahagian dalam kesemua acara dipertandingkan.
Tanpa mendedahkan sasaran sebenar, Kenny berkata BAM mengharapkan kem badminton mampu membutirkan kilauan pingat selepas berjaya membawa pulang tiga emas pada edisi 2019 di Filipina. – Bernama
