Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    BAM mahu perseorangan wanita sertai kejohanan antarabangsa

    KUALA LUMPUR, 21 DIS – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memastikan pemain perseorangan wanita sedia ada menyertai antara tiga hingga lima kejohanan antarabangsa mulai tahun hadapan bagi meningkatkan pendedahan serta ranking dunia mereka.

    Jurulatih perseorangan wanita Malaysia, James Chua berkata empat orang pemain di bawah jagaannya ketika ini, kurang pengalaman beraksi dalam kejohanan besar dan bertemu pemain di ranking lebih tinggi. Mereka ialah Tan Zhing Yi yang berada di ranking ke-182 dunia, Wong Ling Ching ke-335, Siti Nurshuhaini Azman ke-199 manakala Oo Shan Zi tidak tersenarai dalam ranking dunia.

    “BAM memang ada tetapkan supaya mereka menyertai sekurang-kurangnya tiga hingga lima kejohanan mulai tahun hadapan dan dari situ, kita nilai bagaimana prestasi mereka semasa dalam gelanggang.

    “Selepas lebih kurang tiga bulan, kami akan sekali lagi bincang bagi tetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) mahupun berapa banyak lagi kejohanan yang mereka perlu sertai pada bulan berikutnya sebab mereka ini sebenarnya kurang pengalaman bermain,” katanya ketika dihubungi Bernama. James berkata perbincangan akan diadakan bersama barisan kejurulatihan BAM pada Januari depan bagi memastikan penstrukturan semula pembangunan sektor perseorangan wanita dapat dilakukan sebaiknya untuk menghasilkan pemain berkualiti dan mampu memberi saingan sengit ketika dalam gelanggang.

    “Mungkin cara latihan akan berbeza sebab hanya tinggal empat orang pemain di sini (perseorangan wanita), namun kami positif bahawa pemain akan dapat lakukan yang terbaik. Kalau saya boleh kongsi sedikit, tahun hadapan saya mahu fokus latihan dalam gelanggang sebab macam sekarang 50 (latihan gelanggang), 50 (latihan fizikal),” katanya. – Bernama

    BAM akan memastikan pemain perseorangan wanita menyertai kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan ranking dunia mereka. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda