Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ban Bu: Warisan terakhir kraf ikonik mangkuk gangsa di Thailand

    BANGKOK – Terletak di kawasan lama Bangkok yang sering diabaikan pelancong, terdapat sebuah komuniti kecil tetapi kaya dengan warisan budaya yang dikenali sebagai Ban Bu.

    Kawasan kejiranan yang sederhana ini merupakan benteng terakhir bagi kraf Thai purba berusia ratusan tahun: Khan Long Hin, iaitu sejenis mangkuk gangsa tradisional yang diketuk tangan dan digilap dengan batu sehingga berkilau. Walaupun kehidupan di sini kelihatan perlahan, warisannya amat mendalam.

    Asal -usul Ban Bu bermula selepas kejatuhan Ayutthaya pada tahun 1767, apabila tukang logam mahir melarikan diri ke selatan setelah ibu kota lama itu musnah.

    Mereka membawa bersama kemahiran mereka dan dari generasi ke generasi, Ban Bu berkembang menjadi pusat seni kraf gangsa. Produk paling ikonik yang masih dihasilkan ialah Khan Long Hin, sejenis mangkuk air yang diperbuat daripada campuran 80 peratus tembaga dan 20 peratus timah, kemudian digilap dengan batu sehingga bersinar seperti perak.

    Pembuatan satu mangkuk bukanlah kerja mudah atau cepat. Ia melibatkan enam hingga tujuh langkah yang rumit, serta memerlukan kekuatan fizikal dan juga kemahiran yang halus.

    Dr. Jariya Sangsajja menunjukkan hasil karya kraftangan Khan Long Hin. – ANN/The Nation
    ATAS & BAWAH: Antara hasil karya mangkuk gangsa Thailand, bagi satu kraf Thailand purba yang sudah berusia ratusan tahun. – ANN/The Nation

    Pekerja menghasilkan mangkuk gangsa di Bangkok, Thailand. –ANN/The Nation
    Salah seorang pekerja menunjukkan cara mengecat kraf tangan di sebuah bengkel kraf tangan, di Thailand. – ANN/The Nation

    Untuk sebuah mangkuk besar berdiameter sekitar 18 inci, memerlukan masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan.

    Bagi versi yang lebih kecil, penghasilannya boleh mencecah lima hingga enam unit sehari.

    Harga pula berbeza mengikut saiz dan kerumitan reka bentuk, antara 1,200 hingga 8,000 baht.

    Namun, seperti banyak seni tradisional lain, kraf ini kini berdepan masa depan yang tidak menentu.

    Dr Jariya Sangsajja, merupakan waris generasi kelima dalam kraf Khan Long Hin, menjelaskan cabarannya bukan sekadar dari segi beban fizikal kerja yang melibatkan pendedahan berpanjangan kepada haba tinggi tetapi juga masa dan kesabaran yang diperlukan untuk menguasai kemahiran tersebut.

    “Kamu perlukan lebih daripada sekadar kekuatan untuk melakukan kerja ini,” katanya.

    “Ia menuntut kemahiran sebenar, dan membangunkan kemahiran itu mengambil masa yang lama. Anak muda zaman sekarang kurang berminat dengan kerja yang melibatkan panas dan tenaga fizikal, ia tidak seiring dengan gaya hidup yang digemari mereka.”

    Untuk mengatasi hal ini, Dr Jariya telah membuka pintu bengkel miliknya kepada orang ramai.

    Pelawat dialu-alukan dari Isnin hingga Jumaat untuk menyaksikan proses pembuatan dan memahami makna setiap langkah.

    Terdapat juga cadangan untuk menyediakan lebih banyak sokongan kepada tukang mahir yang sanggup melatih perantis, satu langkah yang amat penting bagi memastikan warisan budaya ini terus hidup.

    Perasaan mendesak itu turut dikongsi oleh seorang lagi tukang dari Ban Bu yang menggilap dan mengukir mangkuk ini secara manual, Sunan Chansuphap, “Sekarang, tiada siapa lagi yang boleh meneruskan warisan ini. Saya pun sudah tua dan saya tak tahu bila masa saya akan tiba. Kalau pelajar dari sekolah mahu datang belajar, mereka dialu-alukan.

    “Saya buat ini hanya supaya orang dapat melihat dan menghargainya. Saya tak tahu membaca atau menulis. Saya tak pernah ke sekolah, tetapi saya hanya tahu buat kerja ini.

    Orang luar pun suka.”

    Selain mangkuk gangsa, Ban Bu juga menawarkan pelbagai tarikan lain untuk pelancong yang ingin menyelami budaya Thai.

    Hanya beberapa langkah dari situ terletaknya Hua Khon Luk Phra Phai, satu ruang kreatif di mana pengunjung boleh melukis topeng miniatur Khon, cara menyeronokkan untuk berinteraksi dengan seni persembahan klasik Thailand.

    Bengkel ini, yang hanya berharga 120 baht, sangat digemari oleh kanak-kanak dan golongan muda, sekali gus menghapuskan persepsi bahawa seni Khon hanya untuk golongan elit atau tidak relevan dengan generasi moden.

    Bagi peminat kereta api atau jurugambar pula, Thonburi Locomotive Depot yang berhampiran wajib dikunjungi. Bukan sahaja itu, kereta api vintaj sejak zaman pemerintahan Raja Rama V turut ditempatkan di sana, menjadikannya persinggahan yang penuh dengan sejarah dan nostalgia.

    Ban Bu mungkin kecil, tetapi ia menyimpan sesuatu yang semakin sukar ditemui dalam dunia serba pantas hari ini. Sebuah warisan yang masih hidup.

    Ban Bu juga merupakan tempat di mana awda dapat merasai nadi tradisi Thai, belajar daripada tukang mahir, dan membawa pulang bukan sekadar cenderamata, tetapi kisah yang bermakna. – ANN/The Nation

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda