Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataannya, hari ini, memaklumkan bahawa pengendalian Peringkat Ketiga Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021 adalah diteruskan secara temu duga seisi rumah atau keluarga melalui telefon.
Kaedah itu, jelas kenyataan berkenaan, adalah sebagai alternatif bagi menggantikan temu duga bersemuka yang tidak dapat dijalankan ketika ini.
Ketua isi rumah yang belum diliputi semasa Peringkat Kedua BPP 2021 iaitu Pengendalian e-Census akan dihubungi oleh pegawai banci bagi menetapkan perjanjian sebelum temu duga melalui telefon diadakan.
Ketua rumah boleh mengesahkan pegawai banci yang menghubungi adalah mereka dilantik secara sah oleh JPES melalui Talian Darussalam 123 dan hotline BPP 2021.
Bagi mereka yang ingin mengisikan sendiri borang tanya banci secara borang digital (digital form) boleh memuat turun borang tanya melalui portal BPP www.brucensus.gov.bn dan mengembalikannya melalui e-mel kepada support.brucensus@jpes.gov.bn.
Ketua keluarga turut disarankan untuk menyediakan awal maklumat yang diperlukan bagi melancarkan temu duga seperti maklumat pendidikan dan pekerjaan setiap ahli rumah berkenaan.
BPP 2021 dilaksanakan di bawah Akta Banci, Penggal 78 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam. Akta Banci mewajibkan orang ramai untuk menjawab semua soalan banci dan menjamin bahawa maklumat individu disimpan sulit dan dirahsiakan.
Bagi sebarang pertanyaan mengenai BPP 2021, orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi JPES melalui talian hotline 8382021 / 8382022 (Brunei Muara), 8382023 (Belait), 8382024 (Tutong) dan 8382025 (Temburong), Talian Darussalam 123, telefon 2230250 (waktu pejabat), e-mel support.brucensus@jpes.gov.bn, Portal Banci www.brucensus.gov.bn, laman sesawang di www.deps.gov.bn serta Instagram statistics.jpes.
Sehubungan dengan itu, JPES memohon sokongan dan kerjasama orang ramai bagi menjayakan BPP 2021.
“Pastikan awda dihitung untuk masa depan kitani”.