Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Bandar Buddha purba diancam perlombongan tembaga

    MES AYNAK, AFGHANISTAN – Sebuah bandar Buddha purba yang dipenuhi dengan ukiran besar terletak berhampiran Kabul kini terancam untuk hilang selama-lamanya kerana konsortium China sedang mengeksploitasi salah sebuah tambang tembaga terbesar dunia.

    Terletak di pertemuan budaya Hellenistik dan India, Mes Aynak dipercayai berusia antara 1,000 dan 2,000 tahun yang dahulunya merupakan sebuah bandar besar yang dikelilingi oleh aktiviti pengekstrakan dan perdagangan tembaga.

    Ahli arkeologi telah menemui biara Buddha, bangunan diperbuat daripada batu, kubu, bangunan pentadbiran dan kediaman, manakala ratusan arca, lukisan dinding, seramik, syiling dan manuskrip juga turut temui.

    Walaupun mengalami kecurian pada awal abad ini, Mes Aynak adalah ‘salah satu tapak arkeologi yang paling indah’ di dunia, kata Bastien Varoutsikos, ahli arkeologi dari sebuah syarikat Perancis Iconem, yang sedang berusaha untuk mendigitalkan bandar dan warisannya.

    Tetapi keperluan untuk Taliban yang kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu untuk mencari aliran pendapatan baharu selepas bantuan antarabangsa dibekukan telah menjadikan projek perlombongan itu sebagai keutamaan, dan boleh menamatkan kerja-kerja pengalian arkeologi di kawasan tersebut.

    Pangkalan konsortium China di Mes Aynak, di wilayah timur Logar. – AFP
    Salah satu patung Buddha yang ditemui di tapak arkeologi di Mes Aynak. – AFP
    Gambar menunjukkan tapak arkeologi di Mes Aynak, di wilayah timur Logar. – AFP

    Pengurus jabatan monumen bersejarah Jalat Surkhabi menunjukkan struktur yang ditemui di tapak arkeologi di Mes Aynak. – AFP

    Konsortium perlombongan

    Objek-objek yang ditemui kebanyakannya dari abad ke-2 hingga ke-9 Masihi, tetapi dapatan awal turut mempercayai ia dari Zaman Gangsa iaitu sebelum wujudnya agama Buddha, juga telah ditemui.

    Dilupakan selama berabad-abad sebelum ditemui semula oleh ahli geologi Perancis pada awal 1960an, Mes Aynak, di wilayah Logar, telah dibandingkan dengan Pompeii dan Machu Picchu dari segi saiz dan kepentingan.

    Runtuhan itu, yang meliputi 1,000 hektar, terletak di bahagian puncak yang bahagian tepinya berwarna coklat menunjukkan ia diperbuat daripada tembaga.

    Tetapi pada tahun 2007, syarikat gergasi perlombongan China Metallurgical Group Corporation (MCC) mengetuai konsortium milik kerajaan yang kemudiannya menggunakan nama MJAM dan menandatangani kontrak AS$3 bilion untuk melombong bijih selama 30 tahun.

    Namun 15 tahun kemudian, lombong itu masih tidak wujud, di mana ketidakamanan dan perselisihan faham antara Beijing dan Kabul mengenai syarat kewangan kontrak telah menyebabkan kelewatan.

    Projek itu sekali lagi menjadi keutamaan bagi kedua-dua belah pihak, walau bagaimanapun, perbincangan sedang dijalankan mengenai bagaimana untuk meneruskan.

    Kewajipan memelihara

    Kebimbangan semakin meningkat di kawasan yang dahulunya dianggap sebagai hab perdagangan yang sibuk di Laluan Sutera mungkin hilang jika tidak diawasi.

    Pada awal 2010an, ia adalah ‘salah satu projek arkeologi terbesar di dunia’, jelas Varoutsikos kepada AFP.

    MJAM pada mulanya menggantung permulaan operasi selama tiga tahun untuk membolehkan ahli arkeologi memberi tumpuan kepada kawasan yang diancam secara langsung oleh lombong itu.

    Tempoh itu kemudiannya dilanjutkan kerana keadaan keselamatan menghalang orang Cina daripada membina infrastruktur yang dirancang. Akibatnya, beribu-ribu objek telah digali ada yang dibawa ke muzium Kabul dan yang lain disimpan berdekatan.

    Ketika kali terakhir mereka berkuasa, Taliban mengejutkan dunia dengan meletupkan Buddha gergasi Bamiyan pada Mac 2001, tetapi kini mereka bertekad untuk menjaga penemuan di Mes Aynak itu.

    “Adalah menjadi tugas Kementerian Penerangan dan Kebudayaan untuk melindungi,” kata Esmatullah Burhan, jurucakap Kementerian Perlombongan dan Petroleum, kepada AFP.

    Tetapi banyak peninggalan arkeologi yang ditemui itu terlalu besar atau rapuh untuk dipindahkan.

    Syarikat pelombong Cina itu lebih menyukai lombong terbuka daripada perlombongan bawah tanah. Jika ini berterusan, ia akan mengali tambang tembaga dan menguburkan semua peninggalan masa lalu.

    Akibat alam sekitar

    Afghanistan terletak di atas sumber mineral tembaga, besi, bauxite, litium dan unsur nadir bumi yang luas dan dianggarkan bernilai lebih daripada AS$1 trilion.

    Taliban berharap untuk memperoleh lebih daripada AS$300 juta setahun daripada Mes Aynak kira-kira 60 peratus daripada peruntukan penuh negeri untuk 2022 dan kini mahu mempercepatkan proses itu.

    “Projek ini mesti dimulakan, ia tidak boleh ditangguhkan lagi,” mereka telah berulang kali memberitahu MJAM dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut Burhan.

    Perbincangan itu adalah kira-kira ‘80 peratus selesai’, kata jurucakap itu, dengan hanya perkara teknikal yang masih untuk diselesaikan, yang harus dilakukan tidak lama lagi.

    Taliban menuntut supaya kontrak itu termasuk pembinaan stesen jana kuasa untuk membekalkan lombong dan Kabul, dan landasan kereta api ke Pakistan. Mereka juga mendesak supaya tembaga diproses secara tempatan oleh tenaga kerja Afghanistan.

    China, yang ekonominya sangat memerlukan tembaga, enggan memenuhi permintaan ini. MJAM, yang tidak memberi respons kepada AFP, juga terus menuntut pengurangan royalti yang perlu dibayar. Projek ini juga ditambah dengan kebimbangan mengenai akibat alam sekitar.

    Perlombongan tembaga memberikan pencemaran dan memerlukan kuantiti air yang banyak, dan Logar sudah pun menjadi kawasan gersang.

    Menurut Burhan, Taliban memberi ‘perhatian khusus’ terhadap isu-isu ini dan akan memastikan konsortium itu memenuhi kewajipannya dalam hal ini. Buat masa ini, penangguhan itu memberikan sedikit masa untuk ahli arkeologi.

    Walaupun pada masa ini tiada kerja yang berlaku di tapak, Varoutsikos berharap untuk memulakan semula penggalian sebelum permulaan operasi perlombongan. Tetapi itu juga bergantung pada kerjasama dan pembiayaan antarabangsa, katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...