KUALA LUMPUR, 1 Mei – Projek Bandar Malaysia yang akan dibangunkan di bawah model kerjasama awam-swasta dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM150 bilion, mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi masa depan, kata pemaju induk, TRX City Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azmar Talib berkata, akan wujud banyak peluang perniagaan dan pelaburan, termasuk sektor komersil, perkhidmatan kreatif dan juga industri pelancongan dan hospitaliti seperti mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran serta taman tema.
“Kami menjangka Bandar Malaysia akan menjana peluang pekerjaan mahir, contohnya sebagai satu daripada komponen pengakifan awal untuk Bandar Malaysia ialah Bandaraya Internet Kuala Lumpur (KLIC), yang direka bentuk sebagai hab utama untuk Zon Perdaangan Bebas Digital (DFTZ),” katanya kepada Bernama dalam satu e-mel.
DFTZ yang menjadi yang pertama di dunia, dilancarkan 40 hari lalu di pusat bandar raya ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak serta Jack Ma, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba.
DFTZ mempunyai dua aspek penting, iaitu hab logistik serantau Alibaba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan KLIC, yang akan menjadi model Lembah Silicon di Asia Tenggara, akan dibangunkan di tapak seluas 4.05 hektar di Bandar Malaysia.
DFTZ, sebagaimana dilaporkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau MDEC, dijangka menggandakan kadar pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia, meningkatkan keseluruhan eksport barangan sebanyak US$25 bilion dan mewujudkan 60,000 pekerjaan menjelang 2025. (US$1 = RM4.30).
Bandar Malaysia terletak di bekas lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sungai Besi, iaitu hanya tujuh kilometer dari pusat bandar raya. Ia kini dalam proses memindahkan kemudahan di situ yang tidak lagi sesuai dan cekap sebagai pangkalan operasi tentera udara.
“Kini kami memberi tumpuan untuk menyelesaikan pemindahan PUKL ke lapan tapak berbeza di negara ini menjelang akhir tahun ini.
“Sementara itu kami telah memperoleh Kebenaran Merancang daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kerja-kerja Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan dua Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya sedang dijalankan di tapak tersebut,” kata Azmar. – Bernama