Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bandar musnah, rumah tinggal sisa runtuhan

    MARAWI, Filipina, 1 April – Selepas melarikan diri hampir setahun yang lalu, penduduk di bandar Marawi, Filipina yang dilanda pertempuran telah dibenarkan pulang hari ini buat pertama kalinya, dengan menyaksikan sisa-sisa binaan yang dulunya tempat tinggal mereka.

    Sebahagian besar bandar selatan telah dimusnahkan dalam masa lima bulan pertempuran rumah ke rumah antara tentera dan pasukan jihad yang setia dengan kumpulan Islamic State yang membunuh hampir 1,200 orang.

    Penduduk yang bersedih menyelongkar perabot yang rentung dan anak patung rosak daripada sisa-sisa kemusnahan, yang masih lagi menyembunyikan bom belum meletup yang digugurkan semasa pertempuran meletus pada Mei 2017.

    “Saya menangis dalam rasa marah dan sedih,” kata Samsida Mangcol, 44, memberitahu AFP pada saat dia melihat tiada lagi yang tinggal di butik pengantinnya, yang telah disembur cat dengan perkataan pengganas di seluruh dindingnya.

    “Saya pernah menyewakan pakaian namun kini saya terpaksa menjadi pengemis meminta sesuap makanan dan pakaian kepada saudara saya,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.

    Seorang penduduk berdiri di antara sisa-sisa runtuhan rumahnya ketika dia cuba untuk menyelamatkan barangannya semasa tinjauan ke Bandar Marawi. – AFP

    Marawi yang terletak di pulau Mindanao, bandar Islam di Filipina yang kebanyakannya penganut beragama Katolik telah ditawan oleh ratusan lelaki bersenjata warga asing dan tempatan yang mengibarkan bendera IS setelah menyerangnya dalam apa yang pihak berkuasa katakan percubaan untuk menubuhkan pangkalan Asia Tenggara.

    Secara berperingkat sehingga bulan depan sekumpulan penduduk akan dibenarkan pulang setiap tiga hari sekali, untuk mengkaji rumah lama mereka dan menyelamatkan apa yang boleh sebelum pembinaan semula dimulakan.

    Hari ini, kira-kira 7,000 orang berjalan dengan penuh kesayuan melalui jalan-jalan yang dipenuhi dengan serpihan besi, simen dan bangkai kereta yang ditembusi peluru. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda