Bandar New York dibelenggu kegelapan

NEW YORK, 14 JULAI – Bekalan elektrik terputus telah melumpuhkan pusat bandar Manhattan tatkala pertunjukan Broadway dijangka berlangsung pada malam kelmarin, menyebabkan pengunjung teater membanjiri jalan raya, skrin elektronik di Times Square tidak berfungsi dan sistem kereta api bawah tanah dibatalkan.

Elektrik dipulihkan bagi pelanggan dan perniagaan di pusat bandar Manhattan dan Upper West Side pada tengah malam.

CEO Con Edison John McAvoy berkata satu masalah di stesen pencawang menyebabkan bekalan elektrik terputus pada pukul 6:47 petang, menjejaskan 73,000 pelanggan lebih daripada tiga jam lamanya di sepanjang kawasan dari Times Square hingga ke 72nd Street dan Broadway, dan merebak ke Pusat Rockefeller.

McAvoy berkata punca sebenar bekalan elektrik terputus tidak diketahui sehingga satu siasatan telah selesai.

Elektrik terputus pada awal petang semalam di Pusat Rockefeller, juga kawasan Upper West Side dan merosakkan lampu isyarat.

Orang ramai bersorak di Upper West Side apabila elektrik dipulihkan pada kira-kira 10:30 malam. Beberapa jam sebelum itu, penjaga pintu berdiri dengan lampu suluh di pintu masuk gelap bangunan pangsapuri mewah di Central Park West, mengarah penghuni supaya berjalan naik tangga ke pangsapuri mereka, dengan semua lif tidak dapat digunakan.

Polis mengawal lalu lintas di persimpangan tatkala pejalan kaki dan basikal mencelah-celah menerusi kawasan gelap. Gabenor Andrew Cuomo berkata dalam satu kenyataan bahawa walaupun tidak ada kecederaan dilaporkan, ‘disebabkan ia berlaku adalah tidak dapat diterima.” Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam akan menyiasat.

Kebanyakan muzikal dan drama Broadway membatalkan pertunjukan pada malam semalam, termasuk ‘Hadestown,’ yang pada bulan lalu memenangi Anugerah Tony untuk muzikal terbaik. Beberapa pelakon daripada muzikal ‘Come From Away’ membuat persembahan langsung di jalan raya di luar teater untuk penonton yang hampa. – AP

Orang ramai berjalan di depan Radio City Music Hall dalam kegelapan apabila bekalan elektrik terputus yang menjejaskan sebahagian Bandar New York pada 13 Julai. – AFP