IPOH, 18 OKT – Ipoh akan menjadi bandar raya pertama di Asia mengitar semula 100 peratus sisa menggunakan teknologi mesra alam menerusi sistem Thermowaste apabila pembinaan loji siap sepenuhnya kelak.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata teknologi itu merupakan konsep baharu bermatlamat memberi kegunaan tambahan kepada semua sisa bagi mengitar semula dan mengasingkan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat serta mudah, selari konsep ekonomi donut yang menekankan konsep ekonomi kitaran.
Beliau berkata asas cara teknologi itu berfungsi adalah melalui proses pensterilan dan pembersihan dengan haba, wap dan tekanan dikenakan terhadap sisa pepejal tanpa perlu melakukan pengasingan sebelumnya.
Katanya, selepas 30 minit sisa-sisa pepejal diproses, hasil pengeluarannya sudah sedia untuk disisih dalam empat pecahan berbeza iaitu biomass, plastik, logam dan inert.
“Semua komoditi asas ini kemudiannya akan dijual di pasaran sekali gus menjadikan bahan buangan tadi dapat digunakan semula dalam bentuk berbeza, contohnya sisa pepejal yang ditukar bentuk kepada biomass akan dijual sebagai bahan bakar menggantikan arang batu untuk kegunaan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rumaizi berkata untuk makluman, tapak pelupusan sanitari sisa pepejal bukanlah suatu konsep ideal kerana ia memerlukan kawasan tanah yang luas bagi tujuan pelupusan sisa pepejal di dalam tanah tersebut dan menjadikan penggunaan tanah tidak produktif.
Justeru, beliau berkata Thermowaste Mancuso Energy Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Selekta Spektra telah berganding bahu melalui memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 17 Oktober bagi menjayakan projek itu. – Bernama


