Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bandar Raya Sepanyol bergelut dalam penggunaan skuter elektrik

    MADRID – Bandar-bandar raya di seluruh Sepanyol terus dipenuhi dengan skuter elektrik yang muncul di kaki lima di seluruh negara itu, membantu penunggangnya untuk bergerak ke sana sini, namun ia membuatkan para pemandu dan juga pejalan kaki di sana merasa jengkel.

    Di Madrid, pendapat orang ramai berbelah-bahagi terhadap ratusan skuter elektrik kepunyaan Lime, sebuah syarikat pemula yang berpangkalan di California, sebahagiannya dimiliki oleh Uber dan syarikat induk Google, Alphabet, yang mana telah beroperasi sejak pertengahan bulan Ogos lalu.

    Tidak seperti skim yang bersangkut-paut dengan perkhidmatan perkongsian basikal di mana ianya mesti ditinggalkan di stesen dok, namun skuter tidak mempunyai dok, membuatkan para penggunanya untuk bertanggungjawab di mana hendak untuk meletakkannya. Penunggang seterusnya boleh mencari skuter berdekatan melalui aplikasi telefon pintar mereka, untuk membuka kunci dan menggunakannya dengan percuma.

    Program perkongsian skuter elektrik yang sama ini juga telah diperkenalkan di bandar-bandar raya Eropah lain termasuk Paris, Vienna dan Zurich.

    Di Madrid, skuter Lime, yang telah digunakan lebih dari 100,000 kali, telah dibenarkan oleh dewan bandar berhaluan kiri, bertujuan untuk mengurangkan pencemaran.

    Seorang lelaki menggunakan skuter elektrik Lime di Madrid. – AFP
    Di Madrid, skuter Lime, yang telah digunakan lebih dari 100,000 kali, telah dibenarkan oleh dewan bandar berhaluan kiri, bertujuan untuk mengurangkan pencemaran. Tetapi skuter tersebut sering dibiarkan di tempat-tempat yang menghalang laluan pejalan kaki dan juga melaju di celah-celah pejalan kaki atau jalan sempit. – Agensi
    Sebuah skuter elektrik dari perkhidmatan perkongsian skuter elektrik, Lime, terlihat berada di Madrid. – AFP

    Tetapi skuter tersebut sering dibiarkan di tempat-tempat yang menghalang laluan pejalan kaki dan juga melaju di celah-celah pejalan kaki atau jalan sempit.

    Sebuah video baru-baru ini menunjukkan dua orang, termasuk seorang kanak-kanak memakai topeng, terlihat berlumba di sepanjang lebuh raya berhampiran pelabuhan Mediterranean di Valencia dengan menggunakan skuter, telah menjadi tular.

    “Mereka langsung tidak menghormati apa-apa. Kami memerlukan peraturan. Ianya tidak masuk akal. Mereka berada di lorong khusus untuk bas dan teksi. Mereka melintas di hadapan kereta,” kata pemandu teksi berusia 59 tahun, Fernando Sobrino kepada AFP ketika dia sedang menunggu penumpangnya di pusat Madrid.

    Jose Manuel, seorang jurujual berusia 55 tahun, mengadu skuter ‘dilalui di laluan pejalan kaki tanpa adanya kawalan.’

    “Terdapatnya risiko kemalangan seperti dilanggar, seperti apa yang terjadi pada saya baru-baru ini,” katanya ketika bersiar-siar di sepanjang Gran Via, sebuah jalan tempat membeli-belah paling sibuk di tengah Madrid.

    Kedatangan skuter di Madrid dipacu dengan pengenalan sistem perkongsian basikal elektrik pada bulan Jun 2014. Pengguna skuter turut merasa gembira.

    “Anda bergerak lebih cepat, anda boleh melawat lebih banyak kawasan, ianya santai dan mudah untuk digunakan,” kata Monica Rodriguez, 58, di taman Retiro, Madrid.

    Dia mengakui, skuter boleh menjadi berbahaya dan menjengkelkan untuk orang ramai berjalan melaluinya.

    Pengenalan terhadap bentuk pengangkutan baharu ini telah membuatkan bandar-bandar besar Sepanyol berada di luar kawalan. Di Madrid, yang merupakan rumah kepada sekitar 3.2 juta penduduk, undang-undang terhadap penggunaan skuter hampir tiada.

    Namun kini, perbandaran itu merancang untuk memperkenalkan pelan mobiliti baharu yang akan merangkumi peraturan untuk skuter. Valencia bersedia untuk mengamalkan peraturan baharu, yang mana pengguna skuter dilarang untuk berada di kawasan laluan pejalan kaki.

    Barcelona, ​​bandar kedua terbesar di Sepanyol yang dipenuhi dengan pelancongan besar-besaran, sudah melarang pengguna skuter persendirian untuk tidak berada di laluan pejalan kaki.

    Penyewaan skuter ‘layan diri’ seperti yang ditawarkan oleh Lime juga diharamkan.

    Ketika firma Jerman, Wind, melancarkan program perkongsian skuter elektrik di Barcelona pada bulan Ogos lalu, dalam waktu beberapa jam, anggota polis membawa kenderaan tersebut keluar dari jalan-jalan di sana.Perbandaran Llobregat berhampiran Barcelona, telah menghalang Lime untuk tidak menubuhkan premisnya di sana. Senario ini diulangi di Valencia, yang mempunyai rangkaian lorong basikal yang begitu meluas.

    Lime mengerahkan kumpulan skuter di bandar raya itu tanpa kebenaran dari dewan bandaraya pada bulan Ogos lalu, yang mana memerlukan lesen bagi sesiapa sahaja yang menjalankan aktiviti komersil di jalan awam.

    Skuter Lime telah diharamkan dan firma itu telah didenda. Ia kini cuba untuk meyakinkan dewan Bandaraya Valencia untuk membolehkannya membayar bayaran sebagai pertukaran untuk lesen operasi.

    Wakil Lime di Sepanyol, Alvaro Salvat, mengatakan bahawa dia amat menyesali terhadap kekurangan undang-undang khusus untuk skuter elektrik di Madrid dan kebanyakan bandar raya di Sepanyol.

    “Kami adalah yang pertama untuk menanyakan kepada mereka bagi para pengguna kami dan juga penduduk, jadi kami tahu di mana laluan yang boleh dilalui atau tidak,” katanya kepada AFP. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda