Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bandar sihat’ tingkatkan kesejahteraan hidup penduduk

    KUALA LUMPUR – Seperti kebiasaan petang hujung minggu, suasana meriah memenuhi setiap ruang Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang, apatah lagi cuaca yang cerah, membuatkan puluhan penduduk sekitar datang berkunjung.

    Ada yang bersama keluarga, rakan dan bersendirian, menjadikan taman yang dipenuhi kehijauan itu sebagai lokasi pilihan bagi merehatkan minda serta melakukan pelbagai kegiatan sihat, setelah sekian hari lelah bekerja.

    Di satu sudut laman, kelihatan ayah dan ibu ketawa gembira bermain badminton bersama anak-anak, sementara di bahagian lain, kelihatan beberapa remaja lelaki bermain bola, ada yang berjoging dan mengayuh basikal, mengelilingi sekitar taman itu.

    Tidak kurang juga ada keluarga yang mengambil peluang untuk berkelah, menikmati menu ringan sambil melihat keseronokan anak bermain buaian, papan gelongsor dan santai bersembang sesama jiran tetangga.

    “Inilah keseronokan buat kami dan taman ini menjadi tumpuan kalangan penduduk sekitar dan warga kota untuk menjalani gaya hidup sihat,” demikian kongsi Mastura Abdul Mansor, 35, yang membawa dua orang anaknya ke taman itu.

    Orang ramai melakukan aktiviti riadah di Laman Rekreasi Tasek Tambahan. Kawasan tersebut adalah antara salah satu kawasan yang dijadikan sebagai Projek Perintis Bandar Sihat oleh KPKT di bawah AMNS dalam usaha untuk membentuk kemampanan bandar serta usaha mengekalkan kehijauan di kawasan bandar. – Gambar Bernama
    Orang ramai melakukan aktiviti joging dan beriadah di laman rekreasi tersebut. – Gambar Bernama
    Kelihatan seorang kanak-kanak leka melakukan aktiviti trek kereta kawalan jauh di Laman Rekreasi Tasek Tambahan. – Gambar Bernama
    Gambar Bernama

    Menurut beliau yang sudah lapan tahun menetap di kawasan perumahan berdekatan, seawal pukul enam pagi lagi, taman yang dibuka sejak tahun 2015 itu sudah dipenuhi dengan warga setempat pelbagai bangsa dan peringkat umur untuk melakukan aktiviti riadah.

    Malah, katanya, yang bekerja sebagai guru agama sekolah rendah, ada yang menjadikan taman berkenaan lokasi pertama persinggahan mereka sebelum ke tempat kerja untuk berjoging,lebih-lebih lagi selepas Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan beberapa penambahbaikan seperti ruang pejalan kaki, gimnasium, menambahkan lagi tarikan taman itu.

    “Waktu pagi, memang ada beberapa kumpulan penduduk yang melakukan senaman tai chi dan ada juga yang berjoging. Suasana taman bertambah ceria dan dipenuhi ramai orang awam selepas MPAJ menambah baik taman permainan seperti trek kereta kawalan jauh,” katanya kepada Bernama.

    Projek bandar sihat & mampan

    Seorang lagi pengunjung setia Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Iris Najwa Irwan, 25, berkata, meskipun dikelilingi dengan pelbagai jenis pembangunan dan mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi iaitu kira-kira lebih 50,000 penduduk, namun siapa sangka kawasan itu mampu mengekalkan kehijauan serta ruang untuk penduduk sekitar mengamalkan gaya hidup sihat.

    “Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan senaman gimnasium, memberi peluang kepada mereka yang tidak mampu ke pusat itu untuk menggunakannya tanpa dikenakan sebarang bayaran.

    “Walaupun peralatannya tidaklah sebanyak sepertimana di gimnasium, namun ia memberikan kepelbagaian aktiviti kepada penduduk sekitar taman itu termasuk warga kota yang singgah beriadah untuk meningkatkan kualiti hidup.

    “Penduduk di kawasan ini daripada pelbagai latar belakang dan kelas pendapatan. Ada yang tidak mampu untuk membelanjakan wang mereka ke tempat beriadah dan di sinilah lokasinya apabila mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti senaman dan rekreasi yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

    “Cuma, saya harapkan penduduk dapat menjaga kemudahan yang ditambah baik ini dengan baik dan tidak melakukan vandalisme. Kerajaan menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan pelbagai usaha, kos untuk membantu warga kota menjalani gaya hidup sihat,” katanya.

    Hakikatnya, Laman Rekreasi Tasek Tambahan Ampang adalah antara satu kawasan yang dijadikan sebagai Projek Perintis Bandar Sihat oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam usaha membentuk kemampanan bandar serta usaha mengekalkan kehijauan di kawasan bandar.

    Kurang jenayah

    Menurut Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad, penambahbaikan serta menaik taraf kemudahan di taman itu adalah berdasarkan kepada Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Sihat yang merangkumi laluan (laluan pejalan kaki dan laluan basikal), pencahayaan serta kemudahan sokongan seperti papan tanda informasi kesihatan dan perabot jalan (wakaf dan bangku),

    Beliau, menerusi jawapan secara bertulis kepada Bernama berkata, objektif penambah-
    baikan yang dilaksanakan di Laman Rekreasi Tasek Tambahan adalah selari dengan Agenda ANMS di bawah teras keempat iaitu mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan.

    Teras ini juga, antaranya, untuk memantapkan promosi amalan cara hidup sihat, mengukuhkan perkhidmatan kesejahteraan rakyat, memperkasa kawalan kendiri kesihatan serta memantapkan kebersihan persekitaran.

    “Elemen yang (turut) diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek Bandar Sihat ini antaranya adalah penyediaan outdoor gym, penambahbaikan Trek Kereta Kawalan Jauh (ATRC) dan juga taman permainan kanak-kanak. Kesemua penambahbaikan yang dijalankan secara tak langsung ini memenuhi keperluan penduduk MPAJ,” katanya.

    Apa yang menarik ialah penambahbaikan yang dilakukan itu tidak hanya membantu penduduk sekitar menjalani kehidupan sihat tetapi juga turut mengurangkan kegiatan jenayah apabila kawasan semak samun dibersihkan dan ditambah dengan pencahayaan bagi mewujudkan rasa lebih selamat berbanding sebelum ini.

    Menurut Ani, berdasarkan data Fear of Crime, tahap keselamatan di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, didapati meningkat daripada 50 peratus kepada 75 peratus, iaitu impak daripada projek Bandar Sihat dan Bandar Selamat yang dilaksanakan di kawasan sama.

    Kesan positif ini membuatkan ia dijadikan penanda aras untuk kawasan lain apatah lagi, ini bukan satu usaha mudah untuk menjadikan kawasan berpendudukan padat sebagai sebuah bandar sihat dan berdaya huni.

    Justeru, pelbagai aktiviti dilakukan MPAJ dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan gaya hidup sihat termasuklah kempen kesihatan, keselamatan, kebersihan, penjimatan tenaga.

    Program pembangunan teknologi dan persekitaran hijau juga turut diketengahkan dalam usaha menjadikan Ampang Jaya sebagai bandar rendah karbon dan bandar mampan.

    “Contohnya, melaksanakan kerja inventori pokok di sekitar kawasan Ampang bertujuan mendidik penduduk di kawasan MPAJ dengan kepelbagaian spesies pokok yang memberi ruang kepada komuniti mempelajari jenis pokok selain turut menganjurkan program penanaman pokok dalam usaha memelihara dan memulihara pokok teduhan di kawasan Ampang khususnya,” katanya.

    Menurut Ani lagi, impak memberangsangkan yang dinikmati penduduk sekitar taman ini membuktikan kawasan berkenaan mampu melaksanakan dasar bandar mampan biarpun mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi apabila mereka mendapat manfaatnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda