GJIROKASTRA, ALBANIA – Melihat jalan-jalan di bandar raya pada 2019 dibanjiri oleh pelancong yang menikmati keindahan merupakan ‘mimpi menjadi kenyataan’ buat penduduk Gjirokastra, sebuah bandar di selatan Albania yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana seni bina reka bentuk zaman Ottoman.
Bagaimanapun ia kini berakhir dengan kesedihan apabila dunia mula melaksanakan perintah berkurung.
Digelar sebagai ‘bandar batu’ kerana rumah-rumah dua tingkat dengan menara kecil dari kurun ke-17, Gjirokastra dan bandar kedua Albania, Berat, yang tercatat sebagai Tapak Warisan UNESCO pada 2005 sebagai ‘contoh seni bina pada zaman Ottoman yang jarang ditemui’.
Selepas pengubahsuaian di bahagian tengah bandar, Hysen Kodra antara penduduk tempatan yang hadir menyaksikan rumah-rumah berusia 200 hingga 300 tahun dengan bahagian hadapan diperbuat daripada kayu dan bumbung diperbuat daripada susunan batu menuju ke bilik tetamu. Tambahan, 700 buah katil untuk pelancong di pusat bandar sukar untuk menampung 120,000 orang pelawat yang datang ke Gjirokastra pada tahun sebelum penularan pandemik koronavirus.
“Pandemik telah menghentikan segala-galanya dengan serta-merta, seakan seperti ditusuk dengan pisau,” kata Kodra, yang memiliki rumah tumpangan sebanyak 13 buah di puncak bukit namun hingga kini masih kosong. “Sehingga tahun 2019, kami dalam keadaan baik-baik sahaja, dengan lebih ramai pengunjung melawat setiap hari, dan tahun 2020 semua tempahan bilik telah dibatalkan.”


Bandar kubu dari kurun ke-13 terletak di puncak bukit bandar, Bazar Lama dari kurun ke-17 di mana pelancong berjalan di atas batu buntar untuk mencuba hidangan makanan seperti pasha gofte (bebola daging) atau oshaf, atau membeli-belah barangan kraftangan, langsir, permaidani, pakaian tradisi dan menjadi tumpuan utama di Gjirokastra.
Di sana juga terdapat muzium etnografi terletak di bekas kediaman diktator komunis, Enver Hoxha dan muzium yang baru diubahsuai dan didedikasikan kepada pemenang Nobel Sastera, Ismail Kadare.
Pelancongan di Albania, salah sebuah negara termiskin di Eropah, dengan KDNK dianggarkan sembilan peratus pada 2019, dan pihak kerajaan berharap untuk meningkat KDNK kepada 10 peratus tahun ini.
Rumah tumpangan Kodra dapat menyaksikan pemandangan keseluruhan Gjirokastra, yang mempunyai penduduk seramai 30,000 orang, betul-betul tempat di mana monumen Hoxha diletakkan selepas kematiannya tetapi diturunkan pada 1991 setelah rejim komunis tumbang.
Selama beberapa tahun kematian Hoxha pada 1985, keluarga Kodra berpindah daripada kawasan monumen.
Selepas bantahan penuntut menewaskan rejim komunis pada 1990, keluarganya mendapatkan semula hartanah mereka.
Dengan tiada industri lain di bandar tersebut, pihak kerajaan menumpukan pengubahsuaian rumah dan jalan-jalan untuk persediaan bagi menyambut kedatangan pelancong.
Rumah yang mempunyai menara kecil bertukar menjadi kedai kecil, kafe atau restoran, dan mencatatkan peningkatan empat kali ganda jumlah pengunjung yang datang antara tahun 2015 dan 2019, kebanyakan mereka datang dari Itali, Poland, Perancis dan Sepanyol, manakala sebilangan kecil datang dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Israel.
Manjola Bici, yang menjalankan perusahaan kecil di Bazar Lama dengan menjual teh dan herba tempatan, berkata jumlah kedatangan pelancong menurun 60 peratus, dan kebanyakan mereka yang masih datang ke Albania, tidak bermalam di sana. Walaupun usaha yang ditingkatkan bagi mempromosikan bandar itu secara dalam talian, pendapatan menurun dengan drastik. Banyak kedai terpaksa ditutup.
Bici dan jirannya cuba mengubah beberapa pilihan barangan yang mereka jual atau mengurangkan harganya demi menarik pembeli domestik, dan menyeru pihak kerajaan agar mengurangkan cukai perniagaan bagi membantu mereka. Dia berharap vaksinasi akan membantu menghentikan pandemik serta mengembalikan pelancong datang ke sana.
“Anda boleh lihat sendiri dengan mata anda, anda merupakan satu-satunya pelancong pada hari ini,” katanya sambil melihatkan jalan-jalan lengang kepada wartawan.
“Saya tidak rasa kami akan mampu bertahan dengan jangka masa yang lama melainkan kerajaan mengurangkan kesemua cukai, barangkali hanya untuk setahun,” tambah Kodra. “Kami kurang pasti jika tempahan pada April hingga Mei akan dibuat.” – AP