DUBAI mungkin dikenali dengan seni binanya yang hebat seperti Burj Khalifa iaitu bangunan tertinggi di dunia dan pusat membeli belah Dubai yang merupakan pusat membeli belah terbesar di Timur Tengah. Namun beberapa kumpulan artis jalanan ingin menjadikan Dubai sebagai muzium terbuka yang berperanan untuk meraikan khazanah Emiriah Arab Bersatu dan mampu menghubungkan semua orang di dalam bandar yang mempunyai pelbagai budaya itu.
Mereka menulis puisi menggunakan kaligrafi Arab di dinding-dinding bangunan yang terdapat di bandar raya Dubai dan kemudian melukis potret seorang lelaki tua mengayuh sebuah perahu. Seni yang dipaparkan oleh Dubai Street Muzium itu dibiayai oleh kerajaan dan telah memberikan keceriaan dan kemeriahan kepada bandar itu. Projek tersebut memaparkan hasil kerja 16 artis mural dan grafiti dari pelbagai genre dan warganegara termasuk empat orang yang berwarga Emiriah Arab Bersatu.
Antara penggiat seni Arab yang terlibat dalam pameran seni muzium terbuka itu adalah Ernest Zacharevic iaitu artis Lithuania yang tinggal di Malaysia. Hasil kerjanya disamakan dengan hasil kerja artis grafiti British iaitu Banksy dan artis jalanan Tunisia yang dikenali dengan nama The Inkman. Setiap seorang dari mereka memberikan interpretasi mereka sendiri mengenai tema yang diberikan iaitu “The Past”. Artis-artis tersebut mencurahkan ilham mereka dengan mencipta hasil seni mereka di jalan 2nd of December di tengah-tengah Satwa, satu daripada tempat tertua di Dubai.
“Dubai mempunyai segalanya, dari kewangan ke pelancongan,” kata pengarah projek, Shaima Al-Soueidi. “Pelancong boleh melihat sejarah kami di muzium-muzium. Tapi kami mahu semua orang dapat melihat sejarah itu di mana-mana, meskipun di jalan.”

Seni bandar merupakan trend yang sedang berleluasa sekarang di Timur Tengah, wilayah yang dipenuhi dengan bandar-bandar yang mempunyai sejarah yang rumit dan selalunya penuh dengan krisis. Meskipun grafiti di bandar-bandar tua seperti Tunis dan Beirut sering kali menjadi suara penentang politik moden, seni yang dihasilkan di Dubai berperanan sebagai pendamai.
Suatu penghormatan
Satwa dulunya merupakan kediaman masyarakat Emiriah Arab. Ia kini telah menjadi sebuah kawasan kejiranan kelas pertengahan masyarakat Filipin. Satwa kini dikenali sebagai ‘mini Manila’ oleh penduduknya yang merupakan kawasan kediaman yang sibuk dan dipenuhi dengan restoran-restoran tengah malam serta kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan termasuk peralatan bahagian kereta dan les Chantilly.


Keunikan Satwa menarik minat orang-orang yang mengendalikan projek Dubai Street Museum itu. Mereka berharap agar projek tersebut meluas ke bandar lain. “Kami sedang berusaha untuk mengubah Dubai menjadi sebuah muzium terbuka,” jelas Al-Soueidi.
“Disebabkan oleh sejarah dan lokasinya di bandar ini, kami telah memilih Jalan 2nd of Disember sebagai tapak yang sesuai.” Mural pertama di kawasan kejiranan itu adalah lukisan seorang lelaki di dalam abra, iaitu sebuah perahu sempit yang dibuat daripada kayu, dulunya digunakan untuk melancong dan berdagang merentasi Dubai Creek.
Manakala ketika berjalan setapak ke hadapan akan kelihatan satu seni lukisan seekor helang iaitu sebuah lukisan helang kebangsaan berwarna putih dan keemasan akan kelihatan setinggi tiga tingkat. Muka bangunan pula dicat dengan corak berwarna putih, merah dan hijau, menyamai tenunan pada pakaian tradisional. Pelukis mural Emiriah iaitu Ashwaq Abdullah merupakan seorang daripada artis yang menghasilkan seni lukisan di dinding-dinding dan tempat letak kereta di Dubai.
Mural yang dihasilkannya juga merupakan suatu penghormatan kepada pengasas Emiriah Arab Bersatu (UAE), sheikh Rashed Al Maktoum dan Zayed Al Nahyan. “Seni mural mampu berhubung dengan semua orang dari segenap lapisan masyarakat dan ia secara umumnya berfokus kepada masa lalu dan khazanah tempat ini,” jelas Abdullah. “Bagi saya ia merupakan kesempatan untuk saya meluahkan rasa cinta terhadap negara,” tambahnya lagi. “Saya berharap ia akan dapat dirasai di seluruh Dubai.” – Agensi