FORTALEZA, BRAZIL, 21 OGOS – Dua orang banduan berbahaya yang dipenjarakan di sebuah penjara di Fortaleza, Brazil, cuba melarikan diri dengan menyamar sebagai wanita dan hanya berjalan keluar semasa waktu melawat.
Menurut laporan Oddity Central, Francisco Atila da Silva dan Carlos Antonio da Silva Oliveira, yang disyaki anggota kumpulan penjenayah di Ceara dan mempunyai rekod jenayah termasuk pengedaran dadah, rompak dan bunuh, berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri dari penjara Itaitinga sambil memakai pakaian wanita.
Kedua-dua lelaki itu memakai rambut palsu berwarna hitam, skirt dan kemeja T putih serta mempunyai payudara yang direka untuk memperdaya pengawal penjara.
Mereka cuba bergaul dengan wanita semasa penghujung waktu melawat bagi mengurangkan risiko mendapat perhatian pengawal, tetapi segera dikesan dan kedua-duanya ditahan sebelum sempat melangkah keluar dari penjara.
Polis Brazil ketika ini menyiasat bagaimana banduan tersebut memperoleh pakaian untuk menyamar sebagai wanita dan adakah mereka dibantu oleh orang lain.
Tindakan membantu seseorang untuk melarikan diri dari penjara merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara enam bulan hingga dua tahun.
Banduan-banduan tersebut kini berdepan proses disiplin dalaman kerana cubaan melarikan diri yang gagal dan mungkin tempoh pemenjaraan mereka akan dilanjutkan. – Agensi