Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banduan wanita dihukum gantung di S’pura

    SINGAPURA, 28 JULAI – Singapura hari ini telah melaksanakan hukuman gantung seorang warganegara berusia 45 tahun kerana mengedar dadah, hukuman mati pertama bandar itu terhadap seorang wanita dalam tempoh hampir 20 tahun, kata pegawai-pegawai.

    Pelaksanaan hukuman mati itu dilakukan meskipun terdapat rayuan daripada kumpulan hak asasi manusia, yang berpendapat hukuman mati tidak mempunyai kesan pencegahan yang terbukti terhadap jenayah.

    “Hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Saridewi Binte Djamani telah dilaksanakan pada 28 Julai 2023,” kata Biro Narkotik Pusat dalam satu kenyataan.

    Dia disabitkan kesalahan mengedar “tidak kurang daripada 30.72 gram” heroin, lebih daripada dua kali ganda jumlah yang patut dihukum mati di Singapura.

    Djamani, yang dijatuhkan hukuman pada 2018, “diberi proses yang sewajarnya di bawah undang-undang, dan diwakili oleh peguam bela sepanjang proses itu,” kata biro itu.

    “Dia merayu terhadap sabitan dan hukumannya, dan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 6 Oktober 2022,” kata biro itu, sambil menambah bahawa rayuannya untuk pengampunan presiden juga ditolak.

    Djamani adalah wanita pertama yang dihukum bunuh di negara kota itu sejak 2004, apabila Yen May Woen dihukum gantung kerana mengedar dadah, Perkhidmatan Penjara Singapura memberitahu AFP dalam e-mel. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda