Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bandung bersinar dengan festival cahaya BDG Lights

    JAKARTA, 6 OKT – Bandung di Jawa Barat disinari keindahan cahaya pada hujung minggu menerusi BDG Lights, festival seni cahaya di bawah program Bandung Design Biennale (BDB) yang mengubah kompleks bersejarah ‘Laswi Heritage’ menjadi pentas visual memukau berasaskan seni dan reka bentuk.

    Festival selama tiga hari itu berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober, bertemakan Menata Gelap dan merupakan sebahagian daripada acara utama Bandung Design Biennale yang berlangsung hingga 25 Oktober.

    Acara itu menampilkan projek pemetaan cahaya, dengan persembahan muzik, bengkel dan sesi wacana awam yang menghimpunkan artis, pereka, ahli akademik dan orang ramai untuk meneroka peranan cahaya dalam kehidupan bandar moden.

    Lebih 20 artis tempatan dan antarabangsa dari Cyprus, Jepun, Malaysia, Rusia, Filipina, Taiwan dan Thailand mempersembahkan karya yang menawarkan pengalaman visual interaktif dan mendalam.

    Artis media digital Malaysia merangkap pengasas bersama komuniti pemetaan cahaya Filamen Enterprise, Abdul Shakir Abu Samah berkata festival itu menjadi platform penting untuk memupuk kolaborasi rentas sempadan dalam kalangan artis muda.

    Para pengunjung menikmati persembahan visual semasa festival cahaya tersebut. – Bernama

    “Dengan menghimpunkan artis dari seluruh Indonesia termasuk Yogyakarta dan Surabaya, festival ini mengukuhkan Rangkaian Cahaya Asia Tenggara serta menyemarakkan perkembangan reka bentuk multimedia di rantau ini,” katanya kepada Bernama.

    Para pengunjung yang terdiri daripada pelajar, ahli akademik, pereka dan orang awam bukan sahaja menikmati persembahan visual, malah turut berpeluang berinteraksi dengan beberapa peralatan bagi mencipta kesan cahaya mereka sendiri, menjadikan setiap kunjungan unik.

    Gabungan antara seni, teknologi dan seni bina menjadikan festival ini tumpuan penggemar fotografi, pencipta kandungan media sosial dan pencinta seni kreatif.

    ‘Laswi Heritage’, yang dibina pada 1928 sebagai gudang dan pelabuhan kereta api, kini diberi nafas baharu sebagai hab budaya yang menggabungkan seni bina era kolonial dengan ruang kreatif moden ketika sejarah dan kreativiti bersatu.

    “Kami meneroka bagaimana cahaya berinteraksi dengan kehidupan bandar serta membincangkan isu seperti pencahayaan awam, akses pejalan kaki dan kesedaran terhadap alam sekitar,” kata Pensyarah Institut Teknologi Bandung (ITB), Prananda L. Malasan.

    Disokong oleh Direktorat Promosi Budaya Indonesia di bawah Kementerian Kebudayaan, BDG Lights merupakan kesinambungan daripada Festival Cahaya ITB 2023, namun kini diperluas dengan skala dan tema yang lebih bersifat antarabangsa.

    Festival ini meraikan ulang tahun ke-215 Bandung serta statusnya sebagai Bandar Reka Bentuk Kreatif UNESCO, selain mempamerkan jaringan kreatif rentas sempadan yang dinamik di rantau Asia Tenggara.

    Pengarah Festival, Banung Grahita berkata acara itu kini muncul sebagai platform utama untuk mempromosikan seni dan reka bentuk media baharu, menggalakkan perkongsian serta inovasi, sekali gus memperkukuh kedudukan Bandung sebagai hab bakat kreatif serantau. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda