TUTONG, 29 OKT – Kelab Bola Sepak Bang Dalam (Bang Dalam FC) mengadakan Majlis Malam Gala Penghargaan di Zake Pool, Pekan Tutong baru-baru ini, bagi meraikan pencapaian mereka dalam Liga Daerah Tutong 2024 (TDL 2024), yang menyaksikan pasukan itu meraih tempat ketiga serta menerima Anugerah Fair Play.
Majlis tersebut menyaksikan penasihat kelab, Awang Airwan bin Haji Abang, menyampaikan saguhati dan lencana kenang-kenangan kepada para pemain serta kakitangan pengurusan sebagai penghargaan atas komitmen dan sumbangan mereka sepanjang kejohanan TDL 2024.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Lamat Dubahar, disusuli ucapan presiden kelab, Awang Mohd Eddy Yusri Abdullah yang turut menyampaikan anugerah kepada penerima dalam empat kategori utama.
Antara para penerima anugerah berkenaan ialah Awang Abdul Malik Karim, yang dianugerahkan sebagai Kakitangan Pengurusan Terbaik, manakala Awang Mohd Nurakmal Rizal bin Mohd Norawi menerima Anugerah Penjaring Terbanyak dengan tujuh gol sepanjang kejohanan.
Sementara itu, Awang Nurhelmi Sahrin pula dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Keseluruhan, dan Anugerah Pemain Lama Berkhidmat disampaikan kepada empat pemain yang setia bersama kelab sejak penyertaan tahun pertama dalam TDL, iaitu Awang Nasrullah Haji Abdul Hamid, Awang Mohd Hisyam bin Tangkap, Haji Abdul Arif Faiz bin Haji Bulat dan Awang Mohd Eruwan Abdullah Mambak.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai, jamuan dan persembahan nyanyian oleh para pemain. Para tetamu yang hadir pada acara tersebut turut berpeluang bersantai dengan aktiviti seperti pool, ping-pong, dart dan golf mini yang disediakan di lokasi acara.