Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Seorang lelaki berbangsa Cina tanpa kerakyatan kini mampu menarik nafas lega apabila menjadi warganegara Brunei Darussalam setelah menerima Sijil Taraf Kerakyatan pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, hari ini.
Jan Tze Hong, 59 tahun, yang sedang menjalani pemulihan setelah diserang penyakit strok beberapa tahun yang lalu berkata, dia merasa sangat bersyukur kerana dipilih untuk menjadi rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
“Pengurniaan ini merupakan satu mimpi yang menjadi kenyataan. Ia merupakan hadiah yang tiada tandingannya dan satu pemberian yang sangar besar dalam hidup saya. Saya merasa sangat gembira kerana terpilih untuk menerima Sijil Taraf Kerakyatan Brunei dan berbangga menjadi anak Brunei,” katanya.
Pengiktirafan sebagai anak Brunei ini juga merupakan satu pemberian yang sangat bermakna, di mana beliau baru-baru ini menyambut ulang tahunnya pada 4 Julai lalu.
Beliau merupakan salah seorang daripada 862 orang yang mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menerima Sijil Taraf Kerakyatan.
Hadir bagi menyampaikan sijil itu ialah tetamu kehormat, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Media Permata turut menemu bual salah seorang lagi penerima, Dayang Nurul Hamidah binti Keri selaku wakil kepada anaknya Dayang Nur’Annasya Shaqueena turut menjunjung kasih atas pengurniaan Sijil Taraf Kerakyatan.
Beliau turut menzahirkan rasa gembira untuk anaknya yang kini bergelar sebagai anak Brunei.
Seterusnya temu bual dengan Awang Abdul Azri bin Abdul Wahab, beliau turut merafakkan rasa syukur dan terima kasih setelah menerima sijil berkenaan. Beliau berkata, mendapatkan Sijil Taraf Kerakyatan Brunei ini merupakan satu-satunya peluang untuk dapat memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai rakyat Baginda.
Perkara sama turut dinyatakan oleh seorang lagi penerima, Pang Boon Chin yang juga menasihatkan agar kesemua penerima dapat menjaga nama Negara Brunei Darussalam dengan sebaik-baiknya dan tidak akan mensia-siakan kurnia tersebut.
Beliau juga mengucapkan rasa syukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan Sijil Taraf Kerakyatan dan menjadi sebagai anak Brunei.
Sebagai salah seorang peniaga di Negara Brunei Darussalam dan mendapat pengurniaan sijil tersebut setentunya memberikan semangat bagi membantu dan meningkatkan lagi ekonomi negara dan juga sentiasa memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Menyentuh mengenai permohonannya, Pang Boon Chin merasa lega kerana berjaya melalui beberapa sesi proses saringan dan berpeluang untuk belajar lebih banyak mengenai Melayu Islam Beraja (MIB), adat istiadat Negara Brunei Darussalam dan banyak lagi berkaitan Brunei.