Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Pasukan Bangina dan Pasukan SB FC berjaya meloloskan diri ke Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak Pesta Sukan Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (PMUBD) selepas membenam pasukan lawan masing-masing, baru-baru ini.
Pada perlawanan yang lalu itu, Pasukan Bangina telah menumpaskan Pasukan SS UBD dengan jaringan 5-1, manakala Pasukan SB FC pula menumpaskan Pasukan Wakanda FC dengan jaringan 1-0, sekali gus membawa pasukan yang tewas kepada penentuan bagi kedudukan ketiga dan keempat pada siri kejohanan kali ini.
Pada perlawanan penentuan itu, Pasukan SS UBD terpaksa berputih mata apabila tewas kepada Pasukan Wakanda yang berjaya menduduki tempat ketiga, meskipun Pasukan SS UBD cuba membuat tentangan merebut kedudukan ketiga namun akhirnya terpaksa akur di tempat keempat.
Perlawanan akhir bagi menentukan juara bagi kejohanan tersebut di antara Pasukan SB FC dan Pasukan Bangina akan diadakan pada 31 Mac ini di Kompleks Sukan UBD.
