MOSCOW, 24 DIS – Para saintis Rusia kelmarin mempamerkan bangkai anak mamot dalam keadaan terpelihara amat baik yang ditemui di kawasan Yakutia yang dilitupi permafros.
Bangkai anak mamot betina berusia 50,000 tahun itu telah digelar Yana sempena nama sungai di mana ia ditemui pada musim panas ini.
Pakar mengatakan Yana ialah bangkai mamot dalam keadaan terpelihara terbaik di dunia dan merupakan satu daripada tujuh bangkai yang pernah ditemui.
Kajian kini akan dijalankan untuk mengetahui usia tepatnya semasa kematian, dianggarkan ‘berusia satu tahun atau lebih sedikit.’
Bangkai itu dipamerkan di Universiti Persekutuan Timur Laut di ibu kota wilayah Yakutsk, kata institusi itu dalam satu kenyataan.
“Kami semua terkejut dengan keadaan terpelihara mamot yang luar biasa itu,” kata rektor Anatoly Nikolayev.
Penyelidik Maxim Cheprasov berkata ia adalah ‘penemuan unik.’
Bangkai itu mempunyai berat 180 kilogram, ketinggian 120 sentimeter dan 200 sentimeter panjang.
Bangkai itu digali berhampiran stesen penyelidikan Batagaika di mana bangkai haiwan prasejarah lain – kuda, bison dan lemming – turut ditemui. – AFP