MANILA, 5 MAC – Pasukan penyelamat Filipina hari ini menemui bangkai sebuah jet pejuang serta mayat dua kru yang dihantar untuk menentang pemberontak komunis di kawasan pergunungan di selatan negara itu.
Jet pejuang FA-50 tersebut dilaporkan hilang sehari sebelumnya ketika dalam misi memberikan sokongan udara kepada pasukan tentera yang bertempur dengan gerila di utara Mindanao.
Komander Komando Mindanao Timur, Leftenan Jeneral Luis Rex Bergante memberitahu AFP bahawa kedua-dua kru telah ditemui di dalam bangkai pesawat.
“Mayat mereka ditemui di dalam pesawat. Terdapat cubaan untuk membuka payung terjun dan keluar dari pesawat,” katanya.
“Pesawat itu musnah sepenuhnya. Ia terhempas di atas pokok-pokok di kawasan pergunungan.”

Menurut Leftenan Kolonel Francisco Garello dari Divisyen Infantri Ke-4, bangkai jet yang hilang itu ditemui di Gunung Kalatungan.
Terletak di wilayah Bukidnon, Mindanao, Gunung Kalatungan dengan ketinggian 2,880 meter merupakan gunung kelima tertinggi di Filipina.
Bergante menegaskan bahawa keutamaan mereka kini adalah membawa turun mayat anggota tentera tersebut dari kawasan pergunungan.
Dalam satu kenyataan, tentera udara Filipina memaklumkan bahawa mereka telah mengambil langkah untuk menggantung sementara operasi pesawat FA-50 mereka dan akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu, dengan punca nahas masih belum diketahui.
Jet yang terhempas itu merupakan salah satu daripada 12 pesawat FA-50 yang dibeli oleh Filipina dari Korea Selatan sejak satu dekad lalu. – AFP