Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Islam telah memberikan panduan mengenai langkah yang perlu diambil oleh seseorang andai kata minuman ataupun cecair yang diguna pakai seperti takungan air bersih atau minyak, dihinggapi atau dimasuki oleh serangga lalu serangga itu mati dalam air atau cecair itu.
Dalam kehidupan seharian, kita biasa menemui serangga yang masih hidup seperti semut, mahupun yang sudah mati, pada makanan, minuman, takungan air bersih, minyak dan seumpamanya. Untuk mengawal dan menjaga makanan, minuman dan seumpamanya daripada dimasuki serangga, terutama sekali serangga kecil, merupakan perkara yang amat sukar, apalagi untuk mengelak dan menghalang sama sekali perkara ini daripada berlaku.
Oleh yang demikian, persoalan yang ingin dijelaskan di sini ialah apakah serangga kecil, seperti semut, apabila jatuh ke dalam cecair yang sedikit (kurang daripada dua qullah), lalu mati di dalamnya akan menajiskan cecair tersebut?
Jika benar ia menajiskan cecair, bagaimana pula hukum jika semut atau serangga lain jatuh ke dalam air yang sedikit yang akan digunakan untuk bersuci seperti wudhu dan mandi mengangkat hadas? Penjelasannya adalah seperti berikut.
Semut adalah serangga yang tidak mengalir darahnya
Semut termasuk dalam kumpulan serangga yang tidak mengalir darahnya. Maksud serangga yang tidak mengalir darahnya ialah termasuk setiap haiwan dan serangga yang tidak mengalir darahnya apabila dibelah anggotanya atau dibunuh pada ketika ia hidup, sama ada serangga itu pada asalnya tidak mempunyai darah ataupun mempunyai darah akan tetapi tidak mengalir. Serangga yang tidak mengalir darahnya antaranya ialah lalat, tebuan tanah, lebah, kumbang (hitam), semut, nyamuk, jenis lipas (besar dan kecil), kala jengking, pepijat, kutu kepala, kutu binatang, ulat, labah-labah dan yang seumpamanya.
Jika seseorang merasa syak sama ada serangga itu daripada jenis yang tidak mengalir darahnya atau sebaliknya, maka dihukumkan bahawa ia serangga yang tidak mengalir darahnya dan tidak perlu dibuat ujian terhadapnya seperti dibelah atau dibunuh semata-mata untuk mengetahui perkara ini. Ini kerana perbuatan membelah dan seumpamanya itu dilarang kerana ada unsur penyeksaan.
Bagaimanapun jika serangga atau haiwan itu daripada kumpulan yang mengalir darahnya, akan tetapi pada ketika itu tidak ada darahnya atau darahnya ada, akan tetapi tidak mengalir disebabkan ia kecil, maka dihukumkan sebagai serangga atau haiwan yang mengalir darahnya.

Semut yang mati dalam cecair yang sedikit
Hukum semut yang mati dan seumpamanya daripada serangga yang tidak mengalir darahnya yang jatuh dalam cecair atau air yang sedikit adalah dimaafkan dan tidak menajiskan air tersebut, melainkan dua perkara, iaitu jika semut yang mati itu merubah sifat-sifat air yang sedikit atau semut yang telah mati itu dilontar, dicampakkan atau dimasukkan oleh seseorang, termasuk kanak-kanak kecil, dengan sengaja ke dalam air yang sedikit.
Yang dimaksudkan dengan merubah sifat-sifat air adalah warna, rasa dan bau air. Manakala yang dimaksudkan dengan air yang sedikit ialah air yang kurang daripada dua qullah.
Dalil dalam perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Apabila lalat jatuh ke dalam minuman seseorang daripada kamu, maka hendaklah dia selamkan lalat itu kesemuanya ke dalam minuman iu, kemudian hendaklah dia keluarkan (bangkai) lalat itu dari minuman itu. Sesungguhnya pada salah satu sayapnya itu ada membawa penyakit, (iaitu sayap kiri), dan pada sayap yang satu lagi itu ada penyembuh (ubat).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas, telah diketahui bahawa apabila Rasulullah memerintahkan supaya lalat itu dibenamkan atau dicelupkan ke dalam cecair, lebih-lebih lagi cecair yang panas, pasti akan mengakibatkan lalat itu mati lalu menjadi bangkai. Ini bererti lalat yang telah mati (bangkai) apabila dibenamkan ke dalam cecair tidak menajiskan cecair tersebut. Sekiranya cecair tersebut berubah menjadi najis (mutanajjis) disebabkan bangkai lalat, nescaya Rasulullah tidak memerintahkan berbuat sedemikian. Malahan sebaliknya, air minuman itu masih boleh diminum setelah melaksanakan langkah-langkah seperti yang dijelaskan dalam hadis di atas. Lalu dikiaskan lalat itu dengan tiap-tiap bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya.
Di bawah ini dibawakan contoh-contoh mengenai semut, bangkai semut atau gabungan beberapa jenis serangga yang tidak mengalir darahnya yang hukumnya tidak menajiskan cecair yang sedikit, iaitu: Semut yang masuk ke dalam bekas cecair dengan sendirinya dalam keadaan masih hidup, setelah itu dikeluarkan sama ada dalam keadaan ia masih hidup ataupun telah mati.
Semut yang dalam keadaan masih hidup dicampakkan atau dimasukkan oleh seseorang ke dalam bekas cecair, tidak kira sama ada selepas itu semut tersebut masih hidup ataupun mati.
Semut yang diterbangkan oleh angin atau disebabkan oleh binatang lalu jatuh ke dalam bekas air, sama ada ia dalam keadaan masih hidup ataupun sudah mati.
Semut yang didapati atau dijumpai sudah mati (tanpa perbuatan sesiapa) dalam suatu bekas cecair.
Semut yang disyaki adakah masih dalam keadaan hidup ataupun sudah mati ketika dicampakkan ke dalam cecair, maka dalam hal ini, diambil kira bahawa semut itu pada waktu ia jatuh atau masuk ke dalam cecair ia dalam keadaan masih hidup, maka ia tidak menajiskan cecair.
Semut yang mati yang dicampakkan, ditepis dan seumpamanya oleh seseorang tanpa disengajakan atau dia bertujuan untuk melemparkan semut yang mati itu ke suatu tempat lain, tiba-tiba ia terjatuh ke dalam bekas cecair, maka tidaklah menajiskan cecair itu.
Seseorang mengeluarkan semut yang mati dengan menggunakan se-suatu alat seperti hujung lidi atau ranting kayu, dan jika dalam percubaannya untuk mengeluarkan semut yang mati itu, semut itu terjatuh semula ke dalam bekas air tanpa kecuaian, atau tanpa di-senghajakan, atau di luar kemampuannya (untuk mengawal) atau bukan dengan tujuan mencampakkannya, maka perbuatan ini tidak dikira sebagai mencampakkan semut yang mati dan hukumnya tidak menajiskan cecair tersebut.
Dalam keadaan ini, lidi atau ranting kayu tersebut tidak dikira bernajis dan boleh digunakan lagi untuk mengeluarkan bangkai semut yang masih tinggal (jika ada) dalam bekas air. Lidi dan ran-ting kayu itu boleh juga dikiaskan dengan garpu, sudu, jari dan selainnya.
Serangga yang tidak mengalir darahnya yang makan atau menghisap darah binatang lain seperti kutu yang menghisap darah unta, kemudian kutu itu jatuh ke dalam air, maka dengan sendirinya ia jatuh ke dalam air itu tidaklah menajiskan air yang sedikit. Jika kutu itu berada dalam air untuk suatu tempoh lalu mati sehingga pecah perut kutu dan keluar darah unta tadi dari perutnya, maka ada kebarangkalian ia menajiskan air, akan tetapi ia masih dimaafkan. Dalam perkara ini, darah dalam perut kutu itu adalah dimaafkan sepertimana dimaafkan apa yang ada di dalam perutnya daripada tahi lalu hancur dan bercampur dengan air selama mana tidak merubahkan air.
Bangkai serangga yang berada dalam cecair minyak seperti minyak dalam lampu pelita, dan seseorang berhajat untuk menambah minyak ke dalamnya, maka menurut pendapat al-awjah (pendapat yang lebih rajih dan kuat) tidak mengapa ditambah atau diisi minyak ke dalam pelita itu, sekalipun diketahui ada bangkai serangga dalam pelita serta tidak dikehendaki untuk dikeluarkan terlebih dahulu bangkai serangga itu sebelum menambah atau mengisi minyak ke dalam pelita. Ini kerana perkara sedemikian adalah daripada perkara yang sukar bagi kita untuk berjaga-jaga daripadanya. Apabila bangkai semut yang jatuh dalam cecair yang sedikit itu dimaafkan dan tidak menajiskannya seperti contoh-contoh di atas, maka air tapisan daripada air atau cecair yang dimasuki semut adalah suci. Sebagai contoh jika cecair dalam bekas yang ada di dalamnya semut yang mati itu ditapis seperti diletakkan satu perca kain di atas satu bekas seperti mangkuk, kemudian dituang cecair yang ada bangkai semut itu di atas tapisan kain perca tadi dan terasinglah semut daripada air, maka perbuatan sedemikian tidak menjejaskan kesucian air yang ditapis itu. Ini kerana air yang dituang ke atas kain perca adalah air yang bersambung dengan semut yang mati itu dan bukan diertikan sebagai semut yang mati itu dicampakkan ke dalam cecair.
Bangkai semut
Penjelasan di atas adalah mengenai persoalan hukum bangkai serangga yang tidak mengalir darahnya apabila berada dalam air yang sedikit. Adapun bangkai serangga itu sendiri, maka menurut pendapat yang shahih, adalah tetap najis kerana ia adalah bangkai. Walau bagaimanapun ia tidak menajiskan air kerana kesukaran mengelak dan menjaga keadaan sedemikian daripada berlaku.
Dalam perkara ini, sungguhpun bangkai semut adalah dimaafkan dan tidak menajiskan cecair, namun tidak diharuskan untuk menelannya (memakan) atau meminumnya bersama-sama cecair tersebut. Perkara ini berdasarkan pandangan beberapa ulama dalam perkara memakan bangkai lalat dan seumpamanya daripada serangga yang tidak mengalir darahnya bersama-sama makanan. Menurut pendapat mereka, hukumnya adalah tidak halal, kerana selain bangkai ia juga menjijikkan.
Demikian antara gambaran dan cara penyelesaian kepada persoalan serangga yang mati dalam cecair yang sedikit. Pendapat para ulama yang telah dibawakan di atas dibuat berdasarkan kesukaran kita daripada berjaga-jaga atau mengelak daripada serangga yang tidak mengalir darahnya ini.
Ijtihad ulama dengan memilih pendapat (qaul) yang rajih (yang lebih kuat) bahawa air tersebut adalah suci juga memberi kemudahan kepada umat Islam dan adalah lebih sesuai dengan dasar Islam. Serangga atau haiwan yang tidak mengalir darahnya, termasuk bangkainya, tidak menajiskan cecair yang sedikit. Oleh yang demikian, dalam perkara wudhu dan mandi mengangkat hadas, takungan air bersih yang sedikit yang dimasuki semut dan seumpamanya adalah suci dengan syarat-syarat yang dijelaskan serta ia tidak mengubah sifat-sifat air. Oleh itu, air tersebut boleh digunakan untuk berwudhu, mandi mengangkat hadas dan seumpamanya.