ATHENS – Seorang lelaki yang pernah kehilangan tempat tinggal, inisiatif serta sambutan daripada ratusan orang ramai dan sebuah gudang di pusat Athens, menjadikan gabungan ‘bahan-bahan’ itu terwujudnya sebuah kedai buku yang dimiliki dan dijalankan oleh gelandangan.
Lebih menarik lagi, bukan sahaja kedai buku itu menerima buku-buku dari seluruh negara dan membuka peluang pekerjaan, ia juga merupakan tempat solidariti yang memberi harapan kepada ratusan penduduk Greece yang kehilangan pekerjaan dan rumah mereka.
Sebagai bekas gelandangan, Leonidas Koursoumis, merupakan perancang di sebalik keseluruhan projek tersebut. Lelaki yang berusia dalam lingkungan 70 tahun itu telah dibuang kerja sebelum ini dan beliau tidak mampu membayar sewa rumah, akhirnya terpaksa tidur tidak lena hampir setahun.
“Pada suatu ketika, saya tanya pada diri sendiri, saya tidak mampu melakukannya lagi. Saya mesti bangkit walaupun saya sudah tua,” katanya.
Koursoumis telah berjumpa dengan dua orang rakan gelandangan ketika beliau masih tiinggal di kaki lima, yang membantu beliau mengubah hidupnya.


“Kami bersama-sama memutuskan untuk mengumpulkan buku-buku yang telah dibuang di tong sampah dan sampah kitar semula serta menjualnya di kedai buku terpakai di pasar, Athens untuk mendapatkan pendapatan yang minimum,” kata Koursoumis memberitahu kepada Xinhua.
Mereka bersetuju untuk menyimpan buku yang selebihnya dan bertanyakan kepada penduduk-penduduk, syarikat-syarikat dan perpustakaan untuk menyumbangkan lebih banyak buku, selain daripada barang yang berguna dan pakaian.
Dari saat itu, Koursoumis memulakan babak baharu dalam hidupnya, pada bulan Januari 2019, beliau telah memuat naik dalam media sosial dan dikongsikan oleh ratusan orang.
Akhbar Yunani, radio dan televisyen jua membantunya dan akhirnya kisah hidupnya telah diketahui di seluruh negara.
Salah seorang netizen yang sangat pemurah telah menawarkan sebuah gudang berhampiran pusat Athens, di mana bazar pertama yang telah dianjurkan pada akhir bulan Mac lepas.
“Kami telah menawarkan makanan tengah hari untuk para gelandangan sebanyak tiga kali seminggu dan menganjurkan bengkel-bengkel untuk membantu mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal untuk membuat aktiviti dan cara mendapatkan kembali kehidupan mereka.
Irene Ioannidou, profesor Bahasa Yunani di Berlin datang untuk menyokong usaha itu.
“Saya telah diberitahu mengenai hal itu di laman Facebook. Fikiran lelaki yang penuh bermaruah itu yang sentiasa berendah diri dalam setiap perkara telah membuat saya tersentuh,” kata Ionnidou memberitahu kepada Xinhua.
“Ia merupakan pengajaran hidup dan sebab itu kami datang untuk mendapatkan buku-buku tersebut semampu kami.”
Bilangan gelandangan di Athens telah meningkat secara mendadak semasa tahun-tahun krisis kewangan yang bermula pada tahun 2009.
Satu kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian Buruh dan Hal Ehwal Sosial dengan kerjasama Universiti Panteion telah mencatatkan seramai 1,645 gelandangan pada tahun 2018 dan 691 lagi daripadanya tinggal di kaki lima. – Xinhua